Berita palsu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global dalam tempoh empat hari sejak 29 Mac lalu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, kandungan tidak sahih itu merangkumi dakwaan mengenai kenaikan harga petrol, tuduhan kerajaan membayar “tol” di Selat Hormuz serta spekulasi peningkatan tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Dalam tempoh krisis tenaga global ini, kita berdepan dengan kandungan palsu yang direka oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ada yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan dan menyunting tajuk berita media arus perdana untuk mengelirukan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat.
“Rakyat perlu mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan tidak berkongsi perkara yang belum dipastikan kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan,” tegasnya.
Krisis tenaga global yang sedang melanda ketika ini berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan, sekali gus memberi tekanan kepada harga tenaga dan kos sara hidup di banyak negara.
Situasi ini turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pimpinan dan ahli PKR perlu memainkan peranan membantu kerajaan memberi penjelasan tepat kepada rakyat berhubung situasi semasa.
Katanya, mereka juga harus menjadi “mata dan telinga” kerajaan dalam menangkis dakwaan tidak berasas, termasuk isu kononnya berlaku kekurangan bekalan makanan di peringkat runcit.
“Kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan makanan mencukupi di pasaran. Jika ada aktiviti mencurigakan seperti menyorokkan bekalan, laporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.
KPDN cari jalan ringankan beban pengusaha stesen minyak
Subsidi diesel melonjak tiga kali ganda selepas krisis global
PMX pertahan bantuan ke Gaza, tanda prihatin berterusan sesama umat Islam
Pergerakan pasaran bursa dijangka kekal berhati-hati minggu depan
Harga barang kekal stabil selagi bekalan cukup: Mohamad Sabu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan