Lima rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun.
Lima rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan di bawah pelapik tapak kasut.
Kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita yang tiba di Jepun selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka ditahan pada Sabtu lalu ketika pemeriksaan kastam sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.
Menurut laporan media Jepun, pegawai kastam mula mengesyaki kegiatan salah seorang suspek selepas mendapati tapak kasutnya kelihatan luar biasa tebal.
Pemeriksaan lanjut menemukan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik tapak kasut dua suspek. Penemuan itu kemudian membawa kepada pemeriksaan terhadap tiga lagi individu yang dipercayai melakukan perjalanan bersama mereka.
Ketiga-tiga individu terbabit turut didapati menggunakan kaedah penyeludupan sama.
Laporan TBS News DIG menyebut setiap suspek dipercayai membawa kira-kira satu kilogram kokain, dengan dadah itu dibahagikan kepada bungkusan seberat 500 gram dan disembunyikan di bawah pelapik kasut yang dipakai.
Dalam siasatan awal, seorang daripada suspek dilaporkan mendakwa ditawarkan upah RM8,000 melalui aplikasi Telegram untuk membawa dadah berkenaan ke luar negara.
Suspek itu turut mendakwa dibekalkan sepasang kasut khas yang digunakan untuk menyembunyikan kokain berkenaan.
Sementara itu, laporan NHK menyebut empat daripada lima suspek mengakui dakwaan terhadap mereka ketika disoal siasat pihak berkuasa Jepun.
Bagaimanapun, seorang wanita berusia 25 tahun menafikan penglibatannya dengan mendakwa tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.
Polis Metropolitan Tokyo kini menyiasat kemungkinan kumpulan itu direkrut oleh sindiket yang berpangkalan di Malaysia untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah merentas negara.
Kes berkenaan turut mendedahkan taktik penyeludupan menggunakan barangan harian seperti kasut bagi mengelakkan dadah dikesan ketika pemeriksaan keselamatan dan kastam.
Walaupun kumpulan itu dilaporkan berjaya melepasi pemeriksaan ketika berlepas dari KLIA, pemeriksaan kastam di Jepun akhirnya membawa kepada penahanan kesemua lima suspek.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian yang terlibat serta kemungkinan wujudnya dalang lain dalam kegiatan berkenaan.
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum