Kes tembak.
Tiga lelaki ditembak dalam kejadian lewat malam Sabtu di sebuah pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai hingga mengakibatkan seorang maut manakala dua lagi cedera parah.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 27 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah terkena tembakan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun sejurus kejadian berlaku.
“Seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan. Turut dipercayai seorang lagi mangsa mengalami kecederaan, namun identitinya masih belum dikenal pasti kerana dibawa keluar oleh kenalannya selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, polis kini sedang mengesan mangsa ketiga bagi membantu siasatan selain memburu dua suspek yang dipercayai masih bebas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kejadian tembakan di kawasan pusat hiburan bukan kali pertama berlaku di Johor, malah beberapa insiden berkaitan jenayah bersenjata sebelum ini turut dikaitkan dengan perselisihan kumpulan tertentu dan aktiviti jenayah terancang.
Susulan itu, polis memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Terdahulu, beberapa gambar lokasi kejadian mula tular di media sosial, termasuk imej seorang lelaki terbaring berlumuran darah dipercayai selepas ditembak.
Kejadian itu mengundang kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Komisioner Afiq Izani di talian 019-3683036 atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622.
RTM, Unifi TV siar semua aksi Piala Dunia 2026
Kabinet tak bincang pengurangan subsidi BUDI95
Ringgit terus mengukuh menjelang pengumuman KDNK pada Jumaat
Dakwaan beri kerakyatan kepada warga China hanya fitnah: Saifuddin
Jho Low dilapor mohon pengampunan Trump
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil