Bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri ke-8, Marzuki Mohamad (Kiri).
Bekas pembantu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mendakwa pemecatan Hamzah Zainudin daripada parti itu bukan berpunca daripada usaha menyatukan orang Melayu, sebaliknya kerana tindakannya yang didakwa mencetuskan perpecahan dalaman.
Menurut Marzuki, kemelut itu bermula selepas Hamzah disahkan sebagai Timbalan Presiden Bersatu apabila dikatakan mula menggerakkan usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin sebagai presiden parti.
“Sebagai Timbalan Presiden, tugasnya ialah membantu Presiden seperti termaktub dalam Perlembagaan Bersatu.
“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila beliau didakwa menjalankan gerakan menjatuhkan Presiden secara terbuka,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Marzuki berkata, Hamzah sebelum ini bukan tokoh utama dalam Bersatu sehingga diberi kepercayaan oleh Muhyiddin untuk memegang jawatan Setiausaha Agung parti sebelum disokong untuk menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden.
Beliau turut mendakwa Muhyiddin sendiri memainkan peranan memujuk Ahmad Faizal Azumu bertanding jawatan Naib Presiden bagi memberi laluan mudah kepada Hamzah menduduki kerusi nombor dua parti itu.
Menurutnya lagi, Hamzah tidak mencabar Muhyiddin dalam pemilihan parti kerana menyedari pengaruh presiden Bersatu itu masih kuat di peringkat akar umbi.
Sebaliknya, beliau mendakwa Hamzah cuba mengatur pelan peralihan kuasa dengan mendesak Muhyiddin berundur supaya jawatan Presiden Bersatu boleh dipangku secara automatik oleh Timbalan Presiden.
“Menjadi Timbalan Presiden tanpa bertanding, kemudian desak Muhyiddin supaya berundur. Selepas itu beliau boleh menjadi Pemangku Presiden Bersatu dan seterusnya dilantik sebagai Pengerusi PN dengan sokongan parti lain,” katanya.
Marzuki juga mendakwa terdapat usaha mempengaruhi ketua-ketua bahagian Bersatu untuk mendesak Muhyiddin berundur menerusi kempen mengumpul tandatangan.
Katanya, antara naratif yang dimainkan ialah kononnya Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyokong Hamzah mengambil alih kepimpinan Bersatu selepas satu pertemuan beberapa pemimpin PAS dan Bersatu diadakan di pejabat Hamzah di Bukit Tunku.
Bagaimanapun, beliau mendakwa perkara itu dinafikan sendiri oleh seorang pemimpin kanan PAS yang dihubunginya.
Selain itu, Marzuki berkata wujud juga dakwaan kononnya terdapat usaha kerjasama antara Bersatu, PAS dan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu, namun Muhyiddin perlu diketepikan terlebih dahulu.
“Saya semak dengan beberapa pemimpin kanan UMNO dan mereka kata perkara itu karut. Mereka juga beritahu UMNO tidak percaya kepada Hamzah,” katanya.
Beliau turut mendakwa cerita mengenai hubungan rapat Hamzah dengan Istana Negara digunakan sebagai modal politik untuk menarik sokongan dalam kalangan pimpinan parti dan Ahli Parlimen yang mahu kembali menjadi kerajaan tanpa pilihan raya.
“Inilah punca perpecahan dalam Bersatu dan sekarang PN. Beliau dipecat bukan kerana mahu menyatukan Melayu, tetapi kerana menjadi penyebab perpecahan,” kata Marzuki.
Wong Chen ditamatkan khidmat sebagai Pengerusi MDV hujung Mei ini
Zafrul sedia pertahan kerusi Pandan jika diberi mandat PKR
PKR masih kukuh, rekod keahlian kini lebih sejuta: Fahmi
PKR Kelantan teguh sokong Anwar, nafi ada pemimpin sertai parti Rafizi
DNAA: Zahid mohon halang cabaran Badan Peguam ke Mahkamah Persekutuan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi