Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar.
Cadangan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu ditubuhkan bagi menyiasat isu Tabung Haji (TH) dipersoalkan Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar.
Mahfuz berkata, RCI tidak sepatutnya dilihat seperti peperiksaan yang boleh diulang semata-mata kerana keputusan terdahulu tidak menepati kehendak atau naratif politik pihak tertentu.
“Kenapa bila dapatan RCI tidak sesuai dengan naratif politik, penyelesaiannya ialah minta RCI baharu?” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, jika terdapat kesalahan fakta dalam laporan RCI sebelum ini, pihak yang mempertikaikannya perlu menunjukkan secara jelas fakta yang didakwa salah, termasuk mengemukakan dokumen dan bukti jika terdapat kesimpulan yang tidak tepat.
“Jangan sekadar menggunakan perkataan ‘manipulasi’ tanpa menunjukkan dengan tepat apa yang dimanipulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz turut mempersoalkan cadangan RCI baharu itu selepas Takiyuddin menghadiri program bertemakan “Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji”.
“Saya setuju, jangan politikkan Tabung Haji. Tetapi jangan juga politikkan RCI dengan memilih hanya bahagian yang sesuai dengan parti,” katanya.
Beliau berkata, Takiyuddin juga perlu menjelaskan mengapa ruang Parlimen sebelum ini tidak digunakan untuk membahaskan dapatan RCI secara terbuka jika benar terdapat kebimbangan terhadap ketepatan fakta dalam laporan berkenaan.
Mahfuz menegaskan RCI sepatutnya menjadi mekanisme mencari kebenaran dan bukan alat untuk memenangkan mana-mana parti politik.
“RCI bukan alat untuk memenangkan UMNO. Bukan alat untuk memenangkan PAS. Bukan alat untuk memenangkan PH. RCI ialah mekanisme mencari kebenaran,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya institusi yang menjaga amanah jutaan pendeposit.
Mahfuz turut menegaskan proses RCI Tabung Haji bukan bermula semata-mata kerana Kerajaan MADANI mahu mencari musuh politik, sebaliknya proses itu bermula ketika kerajaan terdahulu masih berkuasa, dengan UMNO dan PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan ketika itu.
“Kalau RCI itu salah, buktikan salahnya. Kalau RCI itu betul, laksanakan syornya. Kalau ada perkara selepas tempoh RCI yang perlu disiasat, siasat,” katanya.
Beliau berkata, dirinya tidak takut jika RCI kedua mahu dijalankan, namun ia tidak sepatutnya digunakan untuk mengaburkan dapatan RCI pertama.
“Saya tidak takut kepada RCI kedua. Tetapi saya juga tidak mahu RCI kedua digunakan untuk mengaburkan RCI pertama,” katanya.
Mahfuz menegaskan, jika terdapat fakta baharu atau bukti baharu, perkara itu wajar disiasat berdasarkan bukti, bukan dengan mengadakan RCI baharu hanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan terdahulu.
“Jangan minta RCI baharu hanya kerana tidak suka keputusan RCI lama. Kalau ada fakta yang salah, patahkan dengan fakta, bukan dengan RCI baharu,” katanya.
Beliau berkata, pendeposit TH tidak memerlukan siasatan yang mengikut selera politik, sebaliknya memerlukan kebenaran yang tidak memihak kepada mana-mana parti.
Dua ADUN Bersatu sokong Wan Rosdy hingga PRN-16, parti beri restu
Bersatu Melaka terbuka kerjasama dengan PH hadapi PRN
PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri