ADUN Kuala Sentul, Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Pahang mendapat restu pucuk pimpinan parti untuk menyokong kepimpinan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Muhyiddin Yassin, sudah membincangkan perkara itu daripada pelbagai sudut sebelum secara dasarnya bersetuju dengan pendirian dua wakil rakyat berkenaan.
“Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin sudah membincangkan perkara ini dari segala sudut dan secara dasarnya menyokong tindakan berkenaan.
“Keputusan ini dibuat bagi menjamin kestabilan politik di negeri Pahang dan memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan DUN berkenaan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas ADUN Kuala Sentul, Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus terlebih dahulu menyatakan hasrat kepada pucuk pimpinan parti sebelum mengambil pendirian berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua ADUN berkenaan menyerahkan kepada parti untuk mempertimbangkan tindakan itu sebelum keputusan dibuat oleh Biro Politik Bersatu.
“Keputusan ini dibuat selepas kedua-dua ADUN berkenaan menyatakan hasrat mereka kepada pucuk pimpinan parti untuk berbuat demikian dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan,” katanya.
Sokongan itu turut dimeterai menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Menteri Besar Pahang dan kedua-dua ADUN terbabit.
Terdahulu, Jasri dan Yazid menerusi kenyataan bersama berkata pendirian menyokong Wan Rosdy dibuat bagi menjamin kestabilan politik serta memelihara kebajikan rakyat di kawasan yang mereka wakili.
“Pendirian ini telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti Bersatu dengan mengambil kira keperluan untuk menjamin kestabilan politik di negeri Pahang dan memelihara kebajikan rakyat di kedua-dua DUN yang kami wakili,” kata mereka.
Kedua-duanya turut menyatakan keyakinan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Kuala Sentul serta Lepar akan terus diberi perhatian menerusi kerjasama dengan pentadbiran kerajaan negeri.
“Kami akan terus melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab dengan sebaik-baiknya dan memberikan kerjasama kepada pentadbiran negeri demi memastikan pembangunan, kebajikan dan kepentingan rakyat Pahang terus terpelihara,” katanya.
Perkembangan itu berlaku ketika kedudukan politik Pahang dilihat seimbang dengan DUN negeri mempunyai 42 kerusi.
Barisan Nasional (BN) menguasai 17 kerusi, terdiri daripada 16 UMNO dan satu MIC, manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai lapan kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memiliki 17 kerusi menerusi Pas dengan 15 kerusi dan Bersatu dua kerusi.
Jangan ulang RCI hanya kerana tak suka keputusan: Mahfuz
RCI Tabung Haji ditubuh ketika UMNO berkuasa, kenapa dipersoal sekarang? – Mahfuz
PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri