Kes Polis.
Polis menahan tujuh pelajar sebuah sekolah menengah bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan dibelasah sehingga mengalami kecederaan lebam dalam kejadian yang tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, semua suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam selepas siasatan dijalankan susulan laporan polis yang dibuat mangsa.
Menurut beliau, tangkapan membabitkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun.
“Pelajar lelaki itu dipercayai berperanan merakam keseluruhan kejadian berkenaan,” katanya dipetik laporan BH.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh sekumpulan pelajar perempuan.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam di telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.
Video kejadian yang tersebar di media sosial sejak semalam mencetuskan kemarahan ramai netizen yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap pelaku buli di sekolah.
Difahamkan, semua pelajar yang terbabit saling mengenali dan dipercayai berhubung melalui satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.
Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah terus menjadi perhatian masyarakat sejak kebelakangan ini berikutan beberapa insiden tular yang membabitkan keganasan fizikal dan mental terhadap pelajar lain.
Orang ramai turut menggesa pihak sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa bekerjasama bagi menangani budaya buli sebelum menjadi lebih serius.
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum