Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara

October 29, 2026 · Isu semasa

Industri budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2024, selain menyediakan lebih 763,000 peluang pekerjaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, industri itu turut merekodkan eksport produk kreatif bernilai RM63 bilion, sekali gus membuktikan potensinya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, ekonomi kreatif bukan sekadar sektor hiburan, sebaliknya melibatkan rantaian perniagaan yang luas termasuk produksi filem, muzik, penganjuran acara, perkhidmatan teknikal serta sektor penginapan dan pengangkutan.

“Ekonomi kreatif bukan sektor sampingan yang boleh dipandang ringan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, penganjuran konsert tempatan dan antarabangsa turut memberi manfaat kepada pekerja teknikal, syarikat produksi, penyedia peralatan serta perniagaan setempat.

Menurutnya, kegagalan menarik acara antarabangsa berpotensi menyebabkan peluang ekonomi beralih ke negara jiran, sekali gus mengurangkan manfaat kepada industri tempatan.

Dalam usaha memperkukuh sektor itu, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) telah menyokong 1,677 projek kandungan tempatan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dengan mewujudkan 32,795 peluang pekerjaan.

Industri filem tempatan juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila 17 filem di bawah Skim Wajib Tayang merekodkan kutipan keseluruhan RM129.86 juta setakat 8 Oktober 2026, berdasarkan data Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Antara filem dengan kutipan tertinggi ialah Tarung: Unforgiven sebanyak RM23.59 juta, diikuti Chelot (RM19.12 juta), Polong (RM15.05 juta), Libang Libu (RM14.16 juta) dan Malaikat Malam (RM12.23 juta).

Kejayaan terdahulu turut membuktikan keupayaan filem tempatan menarik penonton apabila Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatatkan kutipan RM89.06 juta, manakala Sheriff: Narko Integriti meraih RM59.50 juta.

Fahmi berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha menarik produksi antarabangsa bagi meningkatkan pelaburan dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.

Dari Januari hingga Julai 2026, sebanyak 175 produksi antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran menerusi inisiatif Malaysia: A Filming Destination & Production Hub. Antaranya termasuk Lord of the Flies, Mr VIP* dan Thunderbolts.

Kerjasama dengan Hasbro Entertainment, penerbit Transformers, serta Banijay Nordic, penerbit Survivor, turut membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian nilai industri kreatif global.

Selain itu, Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) berjaya menarik anggaran RM2.75 bilion pelaburan asing bagi tempoh 2013 hingga 2025, selain mewujudkan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan.

Dalam bidang pascaproduksi, FINAS Digital Mixstage Studio yang dilengkapi teknologi audio Dolby Atmos pula memperkukuh keupayaan Malaysia menyediakan perkhidmatan bertaraf antarabangsa.

Kerajaan berharap pembangunan kemudahan, penghasilan kandungan tempatan dan kemasukan produksi asing dapat meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab produksi serta pascaproduksi serantau.

Berita berkaitan
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
October 29, 2026· Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
October 29, 2026· Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
17 jam lalu· Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
October 28, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
3 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
4 jam lalu · Isu semasa
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
17 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
18 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok