PRN Johor tak gugat kedudukan Kerajaan Perpaduan: Khaled

June 2, 2026 · Politik

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun kemungkinan berlaku perubahan landskap politik di negeri itu selepas pilihan raya nanti.

Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata rakyat perlu menerima hakikat politik negara kini sudah memasuki era baharu apabila tiada lagi satu parti mampu mendominasi sepenuhnya seperti sebelum ini.

Menurut beliau, susunan kerajaan yang berbeza antara negeri dan Persekutuan kini menjadi perkara biasa dalam politik Malaysia.

“Kerajaan Perpaduan masih ada. Cuma kita kena terima keadaan sekarang sudah tidak sama seperti dahulu. Dalam politik baharu, tidak mungkin ada mana-mana parti yang mendominasi sepenuhnya,” katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang hari ini.

Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, perkembangan politik semasa menunjukkan kerjasama antara pelbagai parti kini menjadi realiti, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Katanya, terdapat negeri yang mempunyai kerajaan berbeza daripada gabungan di Putrajaya, namun keadaan itu tidak menimbulkan masalah kepada pentadbiran negara.

“Di Pusat, ada parti yang menjadi kerajaan tetapi di negeri mereka menjadi pembangkang. Di Johor pula, kerajaan negeri diterajui sepenuhnya oleh Barisan Nasional.

“Jadi yang penting ialah bagaimana rakyat boleh menerima bahawa politik negara pada masa depan akan bergerak dalam suasana seperti ini,” katanya.

Malaysia menyaksikan perubahan besar dalam landskap politik sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022 apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Keadaan itu membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan beberapa parti politik utama termasuk Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) serta gabungan dari Sabah dan Sarawak.

Johor sebelum ini dianggap antara kubu kuat BN apabila gabungan itu memenangi majoriti besar dalam PRN Johor 2022.

Namun perkembangan politik semasa dilihat bakal memberi saingan lebih sengit menjelang PRN kali ini.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Berita berkaitan
Kes pengisytiharan harta: Ismail Sabri akan didakwa esok
13 jam lalu· Politik
Aziz Bari gesa UMNO, PAS henti pertikai RCI Tabung Haji
17 jam lalu· Politik
Peja: Bersatu tak mampu bergerak solo di Melaka
19 jam lalu· Politik
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
19 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya
9 jam lalu · Politik
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
17 jam lalu · Politik
RCI Tabung Haji: Kerajaan tidak akan kompromi dan tindakan tegas diambil
17 jam lalu · Politik
Dedah semua, jangan pilih-pilih laporan RCI TH demi kepentingan politik: AMK
20 jam lalu · Politik
Jangan ulang RCI hanya kerana tak suka keputusan: Mahfuz
21 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok