Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mempersoalkan tindakan UMNO-Barisan Nasional (BN) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang krisis politik.
Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata kerajaan sedia ada memiliki kekuatan majoriti yang kukuh dengan penguasaan 40 kerusi DUN, manakala 12 kerusi Pakatan Harapan (PH) pula berperanan sebagai blok pengimbang yang bersedia menyokong dasar serta polisi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika rakyat sedang berdepan cabaran ekonomi hanya akan menambah beban dan menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar kerajaan.
“Bangsa Johor hari ini mempersoalkan mengapa pembubaran DUN dibuat sekarang sedangkan tiada krisis politik, tiada kehilangan majoriti dan tiada keperluan mendesak untuk mendapatkan mandat baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan tekanan ekonomi serantau, kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat.
“Kerajaan negeri seharusnya fokus kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukannya mengheret rakyat dalam percaturan politik,” katanya lagi.
Faezuddin turut mendakwa PRN Johor dijangka menelan kos sekitar RM90 juta wang rakyat, sedangkan pilihan raya negeri boleh diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya DUN dikekalkan sehingga tamat tempoh pada April 2027.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat menjimatkan kos pentadbiran, malah mengurangkan beban terhadap penjawat awam yang perlu mengendalikan proses pilihan raya berulang kali dalam tempoh singkat.
Untuk rekod, spekulasi mengenai pembubaran DUN Johor mula diperkatakan susulan desakan beberapa pihak dalam UMNO yang mahu mendapatkan mandat baharu lebih awal.
Johor sebelum ini pernah mengadakan PRN pada 2022 selepas berlaku ketidakstabilan politik susulan kematian seorang ADUN kerajaan yang menyebabkan majoriti BN menjadi tipis ketika itu.
Bagaimanapun, situasi politik semasa di Johor dilihat lebih stabil berikutan kerjasama antara BN dan PH di peringkat kerajaan perpaduan selepas PRU-15.
PAS didakwa sudah muktamad untuk cerai dengan Bersatu, ‘stim’ dengan Hamzah: Sumber
Sidang media MB batal, tanda tanya pembubaran DUN Negeri Sembilan makin hangat
Parti baharu Rafizi sahkan sertai PRN Johor
Raja Perlis bertitah mahu MB kekal hingga akhir penggal
AMK yakin PH mampu beri saingan sengit di Johor
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi