PMX akan kongsi visi Malaysia hadapi ketidaktentuan global semasa Forum Nikkei di Tokyo

June 8, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 di Jepun, yang dilihat sebagai platform penting untuk Malaysia mengetengahkan pandangan dan peranannya dalam menghadapi cabaran geopolitik global yang semakin kompleks.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Shahril Effendi Abd Ghany berkata, ucapan bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty” itu akan memberi tumpuan kepada peranan Malaysia dalam mengharungi ketidaktentuan geopolitik dunia selain meneroka peluang baharu bagi memacu kemakmuran serantau.

Menurut beliau, penyertaan Anwar dalam forum berprestij itu mencerminkan komitmen Malaysia yang konsisten dalam memainkan peranan aktif melibatkan isu serantau dan antarabangsa.

“Kehadiran Perdana Menteri melalui penyampaian ucaptama beliau akan menyerlahkan pengaruh Malaysia di persada antarabangsa yang sentiasa berperanan aktif dalam isu-isu serantau dan global.

“Dalam masa yang sama, ia akan memperkukuhkan profil dan imej negara sebagai sebuah negara yang progresif dan berdaya tahan serta komited terhadap kerjasama serantau dan global,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, hari ini.

Shahril berkata, forum anjuran Nikkei itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, tokoh korporat serta pakar dari seluruh dunia bagi membincangkan hala tuju ekonomi dan geopolitik Asia pada masa depan.

Selain menghadiri forum tersebut, Anwar turut dijadual menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo bertajuk “Humanity in a Human-Machine Civilisation”, yang menyentuh cabaran mengekalkan nilai kemanusiaan dalam era perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

“Ucapan khas itu akan menyentuh mengenai kepentingan dalam mengimbangi nilai-nilai kemanusiaan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama dalam era di mana AI berkembang dengan pesat.

“Ia juga selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Presiden Universiti Tokyo, Profesor Teruo Fujii turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar sebelum syarahan khas tersebut berlangsung.

Anwar kini berada di Jepun bagi lawatan rasmi selama tiga hari sehingga 10 Jun.

Lawatan itu turut merangkumi sesi meja bulat bersama tokoh perniagaan dan ketua industri Jepun serta beberapa pertemuan dengan syarikat utama negara itu.

Melalui sesi berkenaan, Malaysia akan mempromosikan kelebihannya sebagai destinasi pelaburan strategik dan rakan dagang yang berdaya saing bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dari Jepun.

Jepun kekal sebagai antara rakan ekonomi utama Malaysia dengan hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1957.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara terus memperkukuh kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, teknologi tinggi, peralihan tenaga dan pembangunan modal insan, sejajar dengan usaha Malaysia mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berteraskan inovasi dan teknologi.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
15 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
October 28, 2026· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
October 29, 2026 · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
1 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
15 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
15 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
16 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok