Pembangunan AI perlu berteraskan nilai kemanusiaan: PMX

June 9, 2026 · Isu semasa

Pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu berpaksikan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab moral, bukannya didorong semata-mata oleh kepentingan ekonomi atau keuntungan korporat, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, AI tidak seharusnya dilihat sebagai satu bidang teknologi yang terpisah, sebaliknya merupakan faktor merentas disiplin yang memberi kesan kepada ekonomi, pendidikan, teknologi dan pelbagai cabang ilmu lain.

Menurutnya, dunia ketika ini berdepan cabaran yang lebih besar daripada kemajuan teknologi semata-mata apabila konflik, peperangan, ketidakadilan dan penindasan masih berterusan walaupun industri AI berkembang pesat.

“Kita menyokong kemajuan teknologi termasuk AI, namun jika ia masuk ke rumah, sekolah, hospital, pejabat, institusi awam bahkan minda kita, maka cabaran yang dihadapi adalah amat besar.

“Kita mesti membina sistem yang berkhidmat untuk manusia bagi memperkayakan lagi nilai kemanusiaan, bukannya merendahkannya,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk ‘Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin’ sempena lawatan rasmi beliau ke Universiti Tokyo, Jepun.

Anwar berkata, kemajuan teknologi perlu memastikan institusi terus bertanggungjawab kepada rakyat dan masyarakat tidak melupakan nilai-nilai yang tidak mampu diwarisi oleh mesin.

“Ia bagi memastikan institusi kekal bertanggungjawab kepada rakyat serta masyarakat terus mengingati perkara yang tidak boleh diwarisi oleh mesin iaitu hati nurani, ihsan, rahmah, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya.

Dalam syarahan itu, beliau turut memberi amaran masa depan teknologi AI kini semakin dipengaruhi oleh segelintir negara dan kumpulan korporat besar yang menguasai sumber kritikal bagi pembangunan teknologi berkenaan.

Menurut beliau, sistem yang menggerakkan era baharu AI memerlukan data berskala besar, cip pemprosesan, tenaga, infrastruktur awan dan modal yang besar, namun sumber tersebut tidak diagihkan secara seimbang.

Katanya, ketidakseimbangan itu bukan sekadar isu teknikal, malah boleh memberi kesan kepada aspek kedaulatan negara, demokrasi dan kebertanggungjawaban awam.

“Golongan kapitalis, pemilik syarikat dan konglomerat mahu menentukan maksud tamadun, bagaimana peperangan, nasib sesebuah negara dan nilai strategik dirasionalisasikan, malah masa depan demokrasi.

“Namun demokrasi adalah mengenai penyertaan. Ia mengenai keadilan,” katanya.

Lawatan Anwar ke Jepun turut menyaksikan beliau menerima kunjungan hormat Presiden Universiti Tokyo, Profesor Teruo Fujii.

Isu pembangunan AI yang beretika semakin mendapat perhatian di peringkat global susulan kebimbangan terhadap risiko penyalahgunaan teknologi itu, termasuk penyebaran maklumat palsu, pelanggaran privasi serta pengaruh syarikat teknologi gergasi terhadap dasar awam dan proses demokrasi.

Esok, Anwar dijadual menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertemakan ‘Navigating Strategic Uncertainty’, yang akan menyentuh peranan Malaysia dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa serta meneroka peluang baharu bagi memperkukuh kemakmuran serantau.

Berita berkaitan
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
5 jam lalu· Isu semasa
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
20 jam lalu· Politik
Syed Saddiq tandatangan CSA, mahu reformasi segera sebelum PRU
20 jam lalu· Politik
CSA perkukuh kestabilan, buka ruang reformasi: PKR
20 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
24 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
24 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
24 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
October 29, 2026 · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
October 29, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok