Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Majlis Peluncuran Operasi Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai.
Pertemuan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Majlis Peluncuran Operasi Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai hari ini menjadi tumpuan apabila ia berlaku selepas beberapa hari kedua-dua pemimpin itu saling berbalas kenyataan di media sosial.
Suasana yang pada mulanya dijangka tegang bertukar mesra apabila kedua-duanya dilihat bersalaman dan berbual sebelum bersama-sama menghadiri majlis pelancaran perkhidmatan rel baharu itu.
Loke tiba di lokasi kira-kira jam 12.45 tengah hari sebelum disusuli Onn Hafiz beberapa minit kemudian.
Kehadiran mereka pada pentas yang sama mencuri perhatian ramai memandangkan pergeseran antara kedua-dua pemimpin itu tercetus ketika suhu politik Johor semakin hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Yang penting ialah rakyat mendapat manfaat daripada projek dan perkhidmatan yang dilaksanakan,” kata seorang pemerhati politik tempatan yang mengikuti perkembangan hubungan kedua-dua pemimpin tersebut.
Pertikaian terbuka itu dipercayai bermula selepas Onn Hafiz menegaskan Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP dalam menghadapi PRN akan datang ketika pelancaran jentera BN di Iskandar Puteri pada 7 Jun lalu.
Kenyataan tersebut kemudiannya mendapat reaksi Loke yang menyindir bahawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, duduk semeja dengannya setiap minggu dalam Kerajaan Perpaduan.
Perang kenyataan itu berlanjutan apabila Loke pada Sabtu lalu mengundang Onn Hafiz untuk menaiki KTM Komuter baharu sempena pelancaran perkhidmatan tersebut hari ini.
Bagaimanapun, Onn Hafiz dalam reaksinya berkata beliau berasa terharu kerana akhirnya menerima jemputan daripada Menteri Pengangkutan itu, namun mendakwa tiada surat rasmi diterima walaupun lawatan kerja berkenaan telah dirancang lebih awal.
Beliau turut membangkitkan isu beberapa lawatan kerja Loke ke Johor sebelum ini yang didakwa tidak melibatkan kerajaan negeri atau exco berkaitan.
Walaupun perbezaan pandangan politik masih wujud, pertemuan di Kulai memberi gambaran hubungan kerja antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus berjalan demi kepentingan pembangunan serta kemudahan pengangkutan untuk rakyat.
Majlis pelancaran Shuttle Selatan itu turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Shuttle Selatan merupakan antara inisiatif terbaharu bagi meningkatkan perkhidmatan rel di Johor dan memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di negeri itu, sekali gus menjadi simbol kerjasama yang diperlukan antara kerajaan negeri dan Persekutuan meskipun berdepan perbezaan politik.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum