PAS disaran keluar PN, bentuk gabungan baharu bersama UMNO: Tun Faisal

June 19, 2026 · Politik

PAS disaran meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan membentuk gabungan politik baharu bersama UMNO sekiranya benar parti itu sedang mengadakan rundingan dengan parti berkenaan di luar pengetahuan kepimpinan gabungan tersebut.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata PAS dilihat semakin menjadi liabiliti kepada PN berikutan beberapa tindakan dan pendirian parti itu yang didakwa tidak selari dengan kepentingan gabungan berkenaan.

Menurutnya, sepanjang kerjasama dalam PN, PAS didakwa kurang komited terhadap gabungan itu apabila terbabit dalam beberapa rundingan politik tanpa pengetahuan rakan komponen lain.

“PAS juga berulang kali menyuarakan hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama UMNO. Selain itu, terdapat dakwaan parti itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO tanpa pengetahuan Bersatu atau PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tun Faisal turut mendakwa PAS kurang memberi keutamaan kepada jenama PN apabila lebih cenderung menggunakan logo sendiri dalam beberapa pilihan raya, termasuk di negeri yang ditadbir parti itu seperti Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, kepimpinan PN yang diterajui PAS juga didakwa gagal mengurus beberapa isu dalaman secara berkesan, termasuk kelewatan mengadakan mesyuarat penting serta memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi pilihan raya.

“Beberapa keputusan penting PN, termasuk pelantikan Ketua Pembangkang dan pindaan perlembagaan gabungan itu, mengambil masa yang lama untuk diselesaikan,” katanya.

Menurut beliau, proses membuat keputusan dalam PN turut menjadi kurang efektif kerana beberapa perkara perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kepimpinan PAS dan Majlis Syura Ulama sebelum dimuktamadkan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan tindak balas politik gabungan berkenaan menjadi lebih perlahan berbanding keperluan semasa.

Pada masa sama, Tun Faisal berpendapat identiti PN sebagai gabungan yang lebih inklusif turut terjejas apabila semakin sinonim dengan imej PAS yang berteraskan warna hijau.

“Dalam keadaan ini, PN berdepan cabaran untuk menarik sokongan parti-parti lain serta pengundi bukan Melayu,” katanya.

Beliau turut membangkitkan dakwaan bahawa PAS mungkin tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan sebaliknya akan diberikan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan selepas pilihan raya itu.

“Jika benar PAS sudah mengadakan rundingan dengan UMNO dan tidak akan bertanding dalam PRN Johor, maka lebih baik PAS secara sukarela meninggalkan PN dan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional.

“Jika perkara ini benar, tidak wajar untuk PAS terus mempengerusikan PN. Itu lebih baik daripada PAS dilihat cuba mensabotaj BERSATU, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Bersatu meneruskan perjuangan PN bersama parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bagi memastikan kelangsungan dan pengukuhan jenama gabungan tersebut menjelang pilihan raya akan datang.

Berita berkaitan
PAS perlu uji kekuatan sebenar ‘gelombang hijau’, tinggalkan PN bertanding guna bulan
June 19, 2026· Politik
Ramasamy sindir PAS, ucap ‘terima kasih’ berjaya pecahkan PN
June 19, 2026· Politik
Mahkamah kurangkan ganti rugi dalam kes saman Guan Eng terhadap Muhyiddin
22 jam lalu· Politik
Kes SPRM beku akaun: Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman Bersatu
23 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Selangor umum bantuan rakyat RM209 juta, Johor pula bersedia untuk pilihan raya: AMK
June 19, 2026 · Politik
DAP ikhlas dengan UMNO, bukan hanya kawan masa senang: Nie Ching
June 19, 2026 · Politik
21 saksi selesai beri keterangan dalam kes rasuah bekas MB Perlis
June 19, 2026 · Politik
PKR teliti tindakan undang-undang terhadap Rafizi, Nik Nazmi
June 19, 2026 · Politik
PH umum calon PRN Johor Isnin ini: Zaliha
21 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok