Kerajaan teruskan Dana Inovasi Media, tambah RM1 juta tabung wartawan: Anwar

June 20, 2026 · Isu semasa

Kerajaan bersetuju meneruskan Dana Inovasi Media bagi memastikan industri media tempatan terus mampu melaksanakan transformasi digital dan memperkukuhkan operasi dalam menghadapi cabaran landskap media yang semakin mencabar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dana yang diperkenalkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun lalu itu telah membuktikan keberkesanannya dalam membantu organisasi media meningkatkan keupayaan teknologi, kandungan serta strategi digital masing-masing.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM30 juta bagi Dana Inovasi Media dan sehingga kini sebanyak 72 syarikat media telah menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta.

“Kita menyediakan peruntukan dan seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian, kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan.

“Jadi, ini berita baik untuk kita. Jalankanlah kerja baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, hari ini.

Dana Inovasi Media diwujudkan bagi menyokong transformasi industri media melalui pembangunan projek inovatif yang merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital.

Ia turut memberi tumpuan kepada latihan pengamal media, penghasilan kandungan kreatif serta usaha memperkukuhkan penyampaian maklumat yang tepat dan relevan kepada rakyat.

Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan kerajaan terhadap kebajikan pengamal media di negara ini.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 773 pengamal media di seluruh negara telah menerima bantuan menerusi tabung berkenaan dengan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM2.26 juta.

“Setakat ini 773 pengamal media seluruh negara sudah menerima sumbangan berjumlah RM2.26 juta.

“Jadi, kerana kejayaan ini, atas semangat ihsan dan kasih, maka Tabung Kasih@HAWANA untuk tahun 2026 ini kita peruntukkan tambahan RM1 juta,” katanya.

Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan pada sambutan HAWANA 2023 diwujudkan bagi membantu pengamal media dan bekas pengamal media yang memerlukan, termasuk melalui bantuan kewangan, kos perubatan, kebajikan keluarga serta pelbagai bentuk sokongan lain.

Langkah meneruskan Dana Inovasi Media dan menambah peruntukan Tabung Kasih@HAWANA dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuhkan ekosistem media negara, bukan sahaja dari aspek pembangunan industri dan teknologi, malah kebajikan pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Berita berkaitan
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
3 jam lalu· Isu semasa
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
17 jam lalu· Politik
Syed Saddiq tandatangan CSA, mahu reformasi segera sebelum PRU
18 jam lalu· Politik
CSA perkukuh kestabilan, buka ruang reformasi: PKR
18 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
22 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
22 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
22 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
October 29, 2026 · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
October 29, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok