Sidang Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan lapan akta yang telah diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang berlangsung dari 19 Januari hingga 3 Mac lalu.
Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul sebelum sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan bermula pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, antara akta yang mendapat perkenan Seri Paduka Baginda ialah Akta Perolehan Kerajaan 2025, Akta Imigresen (Pindaan) 2025, Akta Pasport (Pindaan) 2025 dan Akta Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.
Turut diperkenankan ialah Akta Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura 2026, Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 serta Akta Perbekalan Tambahan (2025) 2026.
Perkenan diraja itu melengkapkan proses perundangan bagi membolehkan akta-akta berkenaan dikuatkuasakan mengikut peruntukan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Johari turut memaklumkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang telah diluluskan Dewan Negara dikembalikan ke Dewan Rakyat selepas satu pindaan dibuat pada Fasal 11.
“Saya telah menimbangkan pindaan itu di bawah Peraturan Mesyuarat 73(1) dan mendapati bahawa pindaan itu menepati tujuan dewan ini serta hanya melibatkan satu fasal sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pindaan berkenaan akan dibawa semula untuk pertimbangan Dewan Rakyat pada tarikh yang akan ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Pada masa sama, Johari memaklumkan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa dan Khamis minggu ini akan dijawab oleh menteri yang berkaitan kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Beliau turut mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya memaklumkan kepada Yang Dipertua atau Setiausaha Dewan Rakyat sekiranya tidak dapat menghadiri persidangan atas urusan rasmi, kesihatan atau sebab peribadi.
“Hal ini bagi memastikan rakyat tidak menganggap Ahli-ahli Yang Berhormat ponteng semasa sidang Dewan Rakyat,” katanya.
Johari juga mengambil kesempatan menzahirkan ucapan takziah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri atas pemergian suaminya pada Khamis lalu.
Selain itu, beliau turut mendoakan kesejahteraan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum