Pelantikan pendakwa raya dicadang terus kepada Agong, tanpa libat PM: Azalina

June 22, 2026 · Isu semasa

Pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri merupakan antara syor utama yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Dewan Rakyat bagi memperkukuh cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, berdasarkan syor itu, Pendakwa Raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan institusi pendakwaan beroperasi secara lebih bebas dan telus, sejajar dengan agenda reformasi institusi negara.

“Proses pelantikan yang lebih telus juga dicadangkan dengan penglibatan Parlimen, iaitu nama calon yang dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen bagi membolehkan pandangan diberikan kepada SPKP,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, antara syor lain yang dikemukakan ialah tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula, selain kewajipan Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

Selain itu, JKP turut mencadangkan pengenalan Kod Etika khusus untuk Pendakwa Raya, dengan pelanggaran kod berkenaan boleh dijadikan antara alasan untuk penyingkiran daripada jawatan.

Azalina berkata, jawatankuasa itu juga mengesyorkan supaya Parlimen diberikan kuasa untuk menggubal undang-undang lanjut berkaitan pelantikan, penyingkiran dan tanggungjawab pelaporan Pendakwa Raya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan mengasingkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.

Sejak pembentangan itu, katanya, pelbagai pandangan dan maklum balas diterima daripada Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan bagi memastikan reformasi tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kami sedang menyiapkan jalan baharu untuk negara kita. Parlimen mesti berpartisipasi. Itulah sebabnya kami berdebat selama berbulan-bulan. Saya harap Ahli Parlimen di kedua-dua pihak akan menerima ini sebagai perubahan sebenar untuk reformasi yang sebenar untuk negara ini,” katanya.

Menurut Azalina, JKP yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang turut mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara, badan profesional, ahli akademik, pakar perundangan serta pertubuhan masyarakat sivil.

Katanya, pendekatan dwipartisan itu membolehkan jawatankuasa menilai cadangan reformasi daripada pelbagai sudut termasuk implikasi perlembagaan, pentadbiran, operasi, kewangan dan pengalaman negara lain yang telah melaksanakan model serupa.

Beliau turut merayu sokongan Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok politik bagi meluluskan pindaan Perlembagaan berkenaan yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Saya perlukan dua pertiga majoriti. Jika tidak, pindaan Perlembagaan tidak dapat dilaksanakan. Yang paling penting, jika kita terlepas peluang pada sesi kali ini, saya bimbang usaha reformasi ini akan terus tertangguh,” katanya.

Cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah lama menjadi tuntutan pelbagai pihak bagi memastikan keputusan pendakwaan dibuat secara bebas tanpa sebarang persepsi campur tangan politik.

Reformasi itu juga dilihat sebagai antara langkah penting dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan kedaulatan undang-undang negara.

Berita berkaitan
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
19 jam lalu· Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
19 jam lalu· Isu semasa
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
19 jam lalu· Politik
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
October 27, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
11 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
11 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
11 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
11 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok