Kad pengenalan dan pasport baharu bermula pada Jun ini.
Kerajaan menganggarkan kos pelaksanaan MyKad Generasi Baharu sekitar RM120 juta setahun berdasarkan pengeluaran kira-kira tiga juta kad setahun, namun rakyat tidak akan diwajibkan menukar MyKad sedia ada yang masih sah digunakan.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan kad pengenalan baharu itu dibuat menerusi kontrak pembekalan secara “pay per issue”, iaitu kerajaan hanya membayar bagi setiap kad yang berjaya dikeluarkan kepada pemohon.
“Pelaksanaan MyKad Generasi Baharu dilaksanakan melalui kontrak pembekalan secara ‘pay per issue’, iaitu kerajaan hanya membuat bayaran bagi setiap kad yang berjaya dikeluarkan kepada pemohon,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias yang meminta kerajaan menjelaskan kos keseluruhan pelaksanaan MyKad Generasi Baharu serta sama ada penggantian MyKad sedia ada akan diwajibkan secara berperingkat.
Menurut Saifuddin, kerajaan tidak bercadang melaksanakan penggantian MyKad secara menyeluruh atau tergesa-gesa kerana kad yang digunakan rakyat ketika ini masih sah dan berfungsi seperti biasa.
Sebaliknya, pengeluaran MyKad Generasi Baharu akan dibuat secara berperingkat dan hanya melibatkan kategori tertentu termasuk warganegara yang membuat permohonan kali pertama pada usia 12 tahun serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 yang tidak mempunyai ciri keselamatan “ghost image”.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan pelaksanaan inisiatif itu tidak akan membebankan rakyat kerana fi permohonan kekal pada kadar RM10 tanpa sebarang kenaikan.
“Fi yang dikenakan kepada pemohon kekal pada kadar RM10 bagi tujuan pemprosesan permohonan tanpa sebarang kenaikan berikutan pengenalan MyKad Generasi Baharu,” katanya.
Beliau menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memastikan pelaksanaan kad baharu itu dilakukan secara berhemah dan mengambil kira kemampuan rakyat.
Kad pengenalan baharu itu akan mula diperkenalkan secara berfasa pada tahun depan dengan dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding hanya 23 ciri pada MyKad yang dikeluarkan sejak 2012.
Antara ciri keselamatan yang diperkenalkan termasuk teknologi ukiran laser, ciri ultraviolet (UV), hologram, guilloche, microtext, cip dengan enkripsi dipertingkatkan serta kod QR yang boleh diimbas bagi tujuan penguatkuasaan.
Pelajar IPTS warga asing ditemui maut di kondo, rakan senegara ditahan
Pemandu mabuk: Kerajaan teliti pampasan khas untuk mangsa kemalangan jalan raya
Masjid Warisan TRX diteruskan, Menteri Agama beri jaminan
FINAS bawa 11 syarikat tempatan ke festival animasi dunia
Iran pelawa Malaysia teroka kerjasama bekalan minyak: Laporan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar