Pelaburan palsu punca kerugian tertinggi penipuan dalam talian

June 24, 2026 · Isu semasa

Jenayah penipuan dalam talian terus membimbangkan apabila kerugian yang direkodkan di seluruh negara sejak 2024 hingga Mei tahun ini mencecah RM5.37 bilion, namun hanya RM10.9 juta berjaya dipulangkan semula kepada mangsa melalui tindakan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, trend kerugian akibat penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun dengan jumlah kerugian meningkat daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, kerugian yang direkodkan sudah mencecah RM830 juta.

Menurut beliau, sindiket pelaburan tidak wujud kekal menjadi modus operandi yang menyebabkan kerugian paling besar kepada rakyat.

“Pelaburan tidak wujud secara konsisten mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM848.62 juta pada 2024, meningkat kepada RM1.46 bilion pada 2025 dan merekodkan RM361.63 juta sehingga Mei 2026,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee mengenai statistik kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian serta keberkesanan usaha mendapatkan semula wang mangsa.

Selain pelaburan palsu, jenayah telekomunikasi turut mencatatkan kerugian tinggi apabila meningkat daripada RM497.12 juta pada 2024 kepada RM802.47 juta pada 2025 sebelum merekodkan RM235.63 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, kes love scam mencatatkan nilai kerugian paling rendah berbanding kategori penipuan lain, namun masih menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit setiap tahun dengan jumlah RM45.87 juta pada 2024, RM47.44 juta pada 2025 dan RM17.76 juta sehingga awal tahun ini.

Dari segi negeri, Selangor dan Kuala Lumpur terus menjadi lokasi yang mencatatkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian selama tiga tahun berturut-turut.

Saifuddin berkata, kerugian di Selangor melonjak daripada RM446.16 juta pada 2024 kepada RM986.79 juta pada 2025, manakala Kuala Lumpur meningkat daripada RM293.30 juta kepada RM782.86 juta dalam tempoh sama.

“Johor, Pulau Pinang dan Perak turut merekodkan peningkatan kerugian yang signifikan, manakala Sabah dan Sarawak menunjukkan trend yang hampir sama dengan nilai kerugian melebihi RM110 juta pada 2025,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sejak NSRC ditubuhkan, sebanyak RM32.49 juta dana milik mangsa penipuan berjaya disita.

Daripada jumlah itu, hanya RM10.9 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa mengikut proses dan prosedur perundangan yang ditetapkan.

Bagi tempoh 2022 hingga 2025, sebanyak RM25.2 juta berjaya disita dengan RM7.3 juta atau 29 peratus dipulangkan kepada mangsa.

Sementara itu, antara Januari hingga Mei tahun ini, RM7.25 juta dana disita dan RM3.57 juta atau 49 peratus berjaya dikembalikan.

NSRC ditubuhkan sebagai mekanisme tindak balas pantas bagi membantu mengesan serta menyekat aliran wang hasil penipuan dalam talian, yang semakin menjadi ancaman serius kepada keselamatan kewangan rakyat dan ekonomi negara.

Berita berkaitan
Pengesahan umur bertujuan lindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian: Fahmi
June 24, 2026· Isu semasa
MyKad baharu libatkan kos RM120 juta setahun
3 jam lalu· Isu semasa
KPDN jelaskan status sebenar Madani Mart: Armizan
21 jam lalu· Isu semasa
SPRM arah pegawai kemas kini harta, perkukuh integriti dalaman: Azalina
21 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan ditolak, perbicaraan kes rasuah Guan Eng diteruskan
June 24, 2026 · Isu semasa
Pelajar IPTS warga asing ditemui maut di kondo, rakan senegara ditahan
3 jam lalu · Isu semasa
Pemandu mabuk: Kerajaan teliti pampasan khas untuk mangsa kemalangan jalan raya
3 jam lalu · Isu semasa
Masjid Warisan TRX diteruskan, Menteri Agama beri jaminan
18 jam lalu · Isu semasa
FINAS bawa 11 syarikat tempatan ke festival animasi dunia
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok