Isu membelenggu platform e-dagang.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan isu yang membelenggu pengguna platform e-dagang diberi keutamaan dan ditangani segera, termasuk caj komisen tinggi, penipuan dalam talian serta barangan diterima tidak seperti dipesan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu susulan keprihatinan Perdana Menteri terhadap aduan pengguna dan penjual yang berdepan pelbagai masalah ketika menjalankan urus niaga menerusi platform berkenaan.
Menurut Fahmi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu terbabit.
“Perdana Menteri telah membangkitkan keprihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi oleh para pengguna yang menggunakan platform e-dagang, berkait fi komisen tinggi yang dikenakan kepada penjual atau produk yang dibeli dan diterima tetapi tidak seperti yang telah ditempah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah kegiatan penipuan atau *scam* dalam platform e-dagang yang boleh menyebabkan pengguna mengalami kerugian.
Sehubungan itu, MCMC telah mengadakan pertemuan dengan semua pemain utama platform e-dagang beberapa minggu lalu bagi membincangkan isu berkaitan.
Selain pertemuan itu, satu pemukiman membabitkan agensi penguatkuasaan dijadual diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi menyelaraskan tindakan bersepadu.
“Dan arahan Perdana Menteri adalah perkara ini perlu diutamakan dan dilaksanakan pada kadar segera,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan beberapa pengumuman tambahan berhubung langkah menangani isu berkenaan dijangka dibuat sempena sambutan Hari Kurier Negara esok.
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum