Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial

3 jam lalu · Isu semasa

Platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penyedia perkhidmatan aplikasi yang tidak mematuhi kewajipan ditetapkan di bawah akta tersebut.

Menurut beliau, MCMC boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan kepada mana-mana pemberi perkhidmatan berlesen yang gagal memenuhi syarat di bawah Bahagian III Akta 866.

“Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian III Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM10 juta sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 866,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan, syarikat yang menerima notis ketidakpatuhan boleh memilih untuk membayar penalti yang ditetapkan atau mengemukakan representasi kepada MCMC bagi tujuan semakan semula.

Fahmi turut menegaskan MCMC mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan bertulis kepada pemberi perkhidmatan berlesen bagi memastikan pematuhan terhadap mana-mana peruntukan di bawah akta berkenaan.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh membawa kepada tindakan mahkamah.

“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta serta denda tambahan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan telah mengadakan siri libat urus dengan syarikat media sosial sejak Januari lalu menerusi pelaksanaan medan uji kaji kawal selia atau ‘regulatory sandbox’ bagi membincangkan mekanisme pengesahan umur pengguna.

Menurutnya, lebih 30 sesi perbincangan telah diadakan sama ada secara bersama atau berasingan dengan platform media sosial yang terlibat.

“Setiap platform mempunyai cabarannya sendiri dan objektif perniagaan yang berbeza, namun kerajaan menetapkan keperluan pengesahan umur ini selaras dengan amalan yang turut dilaksanakan di lebih 25 negara di seluruh dunia,” katanya.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 diperkenalkan bagi memperkukuhkan perlindungan pengguna internet, khususnya kanak-kanak, daripada kandungan berbahaya serta risiko jenayah siber.

Antara fokus utama akta itu ialah memastikan platform digital mengambil langkah lebih proaktif dalam melindungi pengguna bawah umur dan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

 

Berita berkaitan
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
2 jam lalu· Isu semasa
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
3 jam lalu· Isu semasa
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
3 jam lalu· Isu semasa
Pelaburan palsu punca kerugian tertinggi penipuan dalam talian
8 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
3 jam lalu · Isu semasa
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
3 jam lalu · Isu semasa
Rayuan ditolak, perbicaraan kes rasuah Guan Eng diteruskan
8 jam lalu · Isu semasa
Pengesahan umur bertujuan lindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian: Fahmi
8 jam lalu · Isu semasa
Pelajar IPTS warga asing ditemui maut di kondo, rakan senegara ditahan
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok