Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu

June 24, 2026 · Isu semasa

Selepas lebih dua dekad mencari rezeki di Brunei, seorang bapa tunggal akhirnya mengambil keputusan pulang ke tanah kelahirannya di Miri untuk membina kehidupan baharu bersama empat orang anaknya selepas kehilangan isteri tercinta akibat kanser payudara tahap empat tahun lalu.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man yang membantu lelaki dikenali sebagai Philip memulakan semula kehidupan selepas berdepan pelbagai cabaran sebagai ketua keluarga.

Menurut Choon Man, Philip yang bekerja di Brunei selama 20 tahun bukan sahaja kehilangan pasangan hidup, malah terpaksa memikul tanggungjawab besar membesarkan empat orang anak, termasuk tiga anak istimewa yang memerlukan perhatian dan penjagaan berterusan.

“Dengan suara yang tersekat-sekat, dia menceritakan bagaimana isterinya selama ini mengurus dan menjaga anak-anak tanpa pernah merungut. Selepas pemergian isterinya, dia terpaksa memikul kedua-dua tanggungjawab sebagai pencari nafkah dan penjaga anak-anak,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Philip mengakui beliau sering berasa buntu memikirkan masa depan keluarganya, terutama apabila usianya semakin menghampiri persaraan dan pendapatannya di Brunei tidak lagi mampu menjamin kehidupan yang lebih baik.

“Kalau balik nanti, saya nak buat kerja apa?” kata Philip ketika menceritakan kebimbangannya untuk kembali menetap di Sarawak.

Menyedari kesukaran yang dihadapi lelaki itu, Choon Man mengambil inisiatif menghantar pegawainya ke Brunei bagi bertemu dan menilai keadaan keluarga berkenaan.

“Saya nampak dia benar-benar mahu pulang dan memulakan hidup baharu di Miri. Saya percaya bantuan terbaik bukan sekadar memberi sumbangan sekali sahaja, tetapi membantu seseorang menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Hasil perbincangan tersebut, Philip bersetuju mencuba bidang perniagaan kecil-kecilan dengan membuka gerai burger sebagai sumber pendapatan baharu.

Menurut Choon Man, selain membantu memulakan perniagaan, beliau turut membantu mendapatkan kediaman baharu untuk keluarga itu dengan kadar sewa RM700 sebulan dan menanggung bayaran sewa bagi empat bulan pertama menggunakan wang gajinya sendiri.

“Dia tidak perlu berjuang seorang diri. Yang penting sekarang ialah memberi ruang dan peluang untuk dia bangkit semula bersama anak-anak,” katanya.

Usaha tersebut mula membuahkan hasil apabila gerai burger yang diusahakan Philip kini mampu menjana pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan jika diuruskan secara konsisten.

Philip yang sebelum ini menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai pekerja di negara jiran kini melihat masa depan yang lebih cerah di kampung halamannya sendiri.

Kisah beliau turut mencerminkan realiti yang dihadapi ramai rakyat Sarawak yang berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan.

Walaupun memperoleh pendapatan lebih tinggi, mereka sering berdepan cabaran besar apabila perlu mengimbangi tuntutan kerja dan tanggungjawab keluarga.

Bagi Philip, kepulangan ke Miri bukan sekadar permulaan baharu, tetapi juga peluang untuk membesarkan anak-anaknya dalam persekitaran yang lebih dekat dengan keluarga dan komuniti sendiri.

Baginya, selepas 20 tahun merantau, tiada tempat yang lebih bermakna daripada tanah air sendiri.

Berita berkaitan
Sultan Brunei kurnia Darjah Kerabat kepada Anwar
August 22, 2026· Isu semasa
Wanita di Miri rugi hampir RM289,000 ditipu pelaburan saham palsu
May 13, 2026· Isu semasa
Fahmi iringi keberangkatan pulang Sultan Brunei
June 4, 2025· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
19 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
19 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
19 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
21 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok