Bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad.
Bekas Pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad kekal menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakannya terhadap keputusan yang mengembalikan sabitan bersalah serta hukuman berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, 12 tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Azizah Nawawi selepas mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata, panel terdahulu telah memberikan ruang secukupnya kepada pihak pembelaan untuk mengemukakan hujahan, namun peluang tersebut tidak digunakan.
“Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah memberikan peluang kepada pihak pembelaan. Bagaimanapun, pihak pembelaan memilih untuk tidak membuat sebarang hujahan berhubung sabitan dan hukuman.
“Kami dapati tiada sebarang salah laksana keadilan dan oleh itu, semakan ditolak,” katanya.
Turut bersidang ialah Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Ravinthran Paramaguru.
Dengan keputusan itu, Mohd Isa kekal menjalani hukuman penjara enam tahun selain dikenakan denda RM15.45 juta yang diputuskan sebelum ini.
Kes berkenaan berpunca daripada pembelian sebuah hotel di Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) pada 2014.
Mohd Isa didakwa menerima rasuah sebagai dorongan membantu sebuah syarikat memperoleh kelulusan pembelian hotel tersebut pada harga yang mencecah ratusan juta ringgit.
Beliau sebelum ini pernah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan selepas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi diketepikan.
Bagaimanapun, pada 2024, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pendakwaan, sekali gus mengembalikan sabitan bersalah serta hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Permohonan semakan yang diputuskan pada Jumaat merupakan usaha terakhir Mohd Isa untuk mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan, namun mahkamah memutuskan tiada asas untuk campur tangan kerana tiada berlaku salah laksana keadilan dalam prosiding terdahulu.
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Parlimen bebas bahas, undi calon pendakwa raya: Azalina
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar