Anwar lancar Malaysia Digital 2030, sasar ekonomi digital sumbang 30% KDNK

June 29, 2026 · Isu semasa

Kerajaan melancarkan rangka tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) sebagai pelan hala tuju baharu negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan sasaran meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir dekad ini.

Pelan yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu turut menandakan perubahan strategi negara daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi dan penyelesaian digital tempatan.

Menurut Kementerian Digital, MD2030 menetapkan beberapa sasaran utama termasuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam ekonomi digital, menjimatkan RM4.5 bilion perbelanjaan sektor awam menerusi pendigitalan serta memastikan 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian secara menyeluruh.

“Malaysia Digital 2030 menjadi rangka tindakan nasional yang akan memacu transformasi digital negara secara menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI 2030,” menurut kenyataan kementerian.

Kementerian Digital dilantik sebagai kementerian peneraju bagi menyelaras pelaksanaan agenda itu bersama kementerian dan agensi berkaitan.

MD2030 dibangunkan berasaskan tujuh teras utama meliputi kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi, dengan setiap teras diterajui kementerian berbeza bagi memastikan pelaksanaan secara bersepadu.

Di bawah Teras Kerajaan, antara fokus utama ialah penubuhan GovTech Malaysia bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam berasaskan digital.

Sementara itu, Teras Ekonomi memberi penekanan kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi dan perdagangan digital serantau melalui pembangunan produk “Made by Malaysia”, penggunaan teknologi dalam sektor pertumbuhan dan nilai tinggi serta memperkasa penggunaan data, aset digital dan harta intelek.

Bagi Teras Infrastruktur pula, kerajaan akan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti capaian internet di seluruh negara selain membangunkan infrastruktur digital masa depan seperti pusat data, pengkomputeran awan dan bandar pintar.

Teras Bakat pula bertujuan melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi ekonomi digital menerusi dasar pembangunan bakat yang lebih menyeluruh serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital di peringkat serantau dan global.

Pelancaran MD2030 merupakan kesinambungan kepada agenda transformasi digital negara yang sebelum ini dilaksanakan menerusi inisiatif Malaysia Digital dan pelbagai dasar pendigitalan kerajaan.

Melalui pelan baharu ini, kerajaan berharap sektor digital mampu menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi dan teknologi di peringkat antarabangsa.

Berita berkaitan
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
13 jam lalu· Politik
Syed Saddiq tandatangan CSA, mahu reformasi segera sebelum PRU
14 jam lalu· Politik
CSA perkukuh kestabilan, buka ruang reformasi: PKR
14 jam lalu· Politik
Enam Ahli Parlimen Bersatu tandatangan CSA, terima peruntukan setara
16 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
18 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
18 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
18 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
20 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
21 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok