RM429 juta peruntukan untuk polis, imigresen dan penjara Johor: Saifuddin Nasution

July 4, 2026 · Isu semasa

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan lebih RM429 juta bagi memperkukuh kebajikan anggota serta meningkatkan keupayaan operasi agensi penguatkuasaan di Johor sejak 2023 hingga tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan itu melibatkan tiga agensi utama di bawah kementerian berkenaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Menurut beliau, sebanyak RM174.8 juta diperuntukkan bagi projek yang telah siap dan sedang dilaksanakan, manakala RM255 juta lagi disediakan untuk projek dalam perancangan.

“Apabila anggota penguat kuasa mempunyai tempat bertugas yang lebih kondusif, kuarters lebih selesa dan kemudahan operasi lebih moden, rakyat turut menikmati manfaatnya melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik serta persekitaran lebih aman dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk perolehan tanah bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengerang, pembelian premis serta kuarters JIM Johor Bahru, selain kerja naik taraf kemudahan asas di Penjara Kluang.

Bagi projek yang masih dalam perancangan pula, KDN akan memberi tumpuan kepada pembinaan IPD Segamat bersama balai polis dan perumahan anggota, penggabungan dewan penumpang bas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), serta kerja naik taraf bengkel dapur Penjara Kluang dan sistem bekalan air Penjara Simpang Renggam.

Saifuddin berkata, penyediaan kemudahan lebih baik kepada anggota tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai usaha kebajikan, sebaliknya pelaburan penting bagi memastikan agensi penguatkuasaan dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap, selamat dan berkesan.

“KDN akan terus memastikan setiap peruntukan yang diamanahkan dimanfaatkan sebaiknya agar kebajikan anggota sentiasa terpelihara, sekali gus memperkukuh keselamatan Johor dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Johor menjadi antara negeri penting dari sudut keselamatan dan penguatkuasaan kerana mempunyai pintu masuk antarabangsa yang sibuk, termasuk laluan darat ke Singapura menerusi Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang.

Keperluan meningkatkan kapasiti PDRM, Imigresen dan Jabatan Penjara turut dilihat penting bagi menangani isu rentas sempadan, kemasukan warga asing, jenayah serta kesesakan di pintu masuk negara.

Saifuddin berkata, pelaksanaan projek itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap negeri menerima sokongan pembangunan mengikut keperluan semasa dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut merujuk penjelasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa peruntukan pembangunan dan pengurusan kepada Johor telah meningkat kepada kira-kira RM14.6 bilion, berbanding RM10.2 bilion sebelum ini.

Berita berkaitan
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
17 jam lalu· Isu semasa
Op Viking: Polis sita aset RM409 juta berkait mafia korporat, 70 individu dipanggil
18 jam lalu· Isu semasa
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
October 27, 2026· Politik
Mahkamah dengar cabaran PN terhadap penggantungan RoS 7 Disember
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
7 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
7 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
7 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
7 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok