Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, memberitahu Mahkamah Tinggi tidak mengetahui mana-mana syarikat yang terlibat dalam program Jana Wibawa pernah menyalurkan sumbangan politik kepada Bersatu.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika tampil sebagai saksi pendakwaan ke-11 dalam perbicaraan kes melibatkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.
Dalam pernyataan saksinya pada Isnin, Tengku Zafrul berkata Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri, tidak pernah memaklumkan kepadanya mana-mana syarikat dicadangkan untuk menerima projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) telah menyumbang dana kepada Bersatu.
“Saya juga tidak tahu sama ada syarikat-syarikat ini telah membuat sumbangan kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak menerima sebarang manfaat kewangan peribadi atau sumbangan daripada syarikat yang terbabit dalam program itu.
“Saya tidak menerima sebarang faedah kewangan peribadi mahupun sumbangan daripada syarikat yang terlibat dalam program Jana Wibawa,” katanya.
Pada prosiding sama, Tengku Zafrul mengesahkan pernah menandatangani surat kepada Muhyiddin pada 23 Julai 2020 bagi mencadangkan supaya pelaksanaan projek tertentu dipercepatkan menerusi pengenalan Jana Wibawa.
Surat itu bertajuk ‘Cadangan Mempercepatkan Pelaksanaan Projek Melalui Pengenalan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Sebagai Program Khas Untuk Pembangunan Bumiputera’.
Menurutnya, surat berkenaan dihantar bagi mendapatkan persetujuan Perdana Menteri terhadap pelaksanaan program khas pembangunan Bumiputera itu di bawah seliaan Kementerian Kewangan.
“Saya sahkan surat ini ditandatangani oleh saya ketika itu selaku Menteri Kewangan. Surat ini dihantar kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri bagi mencadangkan supaya pelaksanaan projek dipercepatkan melalui pengenalan program itu,” katanya.
Jana Wibawa diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional sebagai inisiatif untuk memperkukuh penyertaan kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan serta mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan.
Program itu bagaimanapun menjadi antara fokus siasatan pihak berkuasa selepas beberapa syarikat yang dikaitkan dengan projek berkenaan didakwa mempunyai hubungan dengan sumbangan politik kepada Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi masih berlangsung.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum