Kerajaan siasat dakwaan stesen minyak rugi semasa pelaksanaan penyasaran subsidi

July 7, 2026 · Isu semasa

Kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut serta mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak susulan dakwaan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian ketika peralihan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai kerjasama syarikat minyak dan pengusaha stesen dalam memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 serta diesel dapat berjalan lancar.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan perlu diteliti secara menyeluruh supaya sebarang kelemahan dalam tempoh peralihan dapat diselesaikan tanpa menjejaskan operasi pengusaha.

“Merujuk kepada permasalahan yang dibangkitkan, saya akan minta Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak.

“Setakat ini mereka memberi kerjasama penuh. Kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung dakwaan sesetengah pengusaha stesen minyak menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika berlaku perubahan harga bahan api bersubsidi sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan terbuka untuk berbincang dengan semua pihak sekiranya terdapat masalah teknikal, kos operasi atau isu aliran tunai yang timbul akibat pelaksanaan dasar baharu itu.

“Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, insya-Allah kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik,” katanya.

Penyasaran subsidi bahan api merupakan antara langkah kerajaan untuk memastikan bantuan dinikmati golongan yang benar-benar layak, selain mengurangkan ketirisan akibat penggunaan subsidi secara menyeluruh.

Dalam pelaksanaan subsidi diesel, kerajaan sebelum ini mengambil pendekatan lebih berhati-hati khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak kerana keadaan di kedua-dua negeri itu lebih kompleks berbanding Semenanjung.

Anwar berkata, penggunaan diesel yang lebih tinggi, jarak perjalanan di kawasan pedalaman dan bilangan stesen minyak yang lebih terhad perlu diambil kira sebelum sebarang perubahan dasar dibuat.

Beliau turut memaklumkan penambahbaikan program BUDI MADANI Diesel membolehkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip memohon tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter sebulan.

Dengan tambahan itu, jumlah kelayakan subsidi bagi golongan terbabit meningkat kepada 300 liter sebulan.

“Sehingga semalam, kira-kira 200,000 permohonan tambahan kuota daripada warganegara telah diluluskan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menegaskan reformasi subsidi bahan api perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan kesan mendadak kepada rakyat, peniaga dan sektor pengangkutan, sambil memastikan penjimatan negara dapat disalurkan kepada bantuan bersasar serta perkhidmatan awam.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
4 jam lalu· Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
12 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
14 jam lalu· Isu semasa
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
October 27, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
5 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
5 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
5 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
11 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok