Subsidi minyak: UMNO juga ada menteri dalam Kabinet, DAP Johor bidas Onn Hafiz

July 7, 2026 · Isu semasa

DAP Johor membidas Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang mendesak Kerajaan Persekutuan memansuhkan kuota bulanan BUDI95, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai serangan terhadap dasar kerajaan yang turut diputuskan bersama menteri UMNO dalam Kabinet.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata Onn Hafiz dilihat semakin rancak menyerang dasar Kerajaan Madani tanpa menjelaskan keseluruhan fakta kepada rakyat, khususnya berhubung rasional pelaksanaan subsidi minyak bersasar.

Beliau berkata, BUDI95 bukan diwujudkan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya sebagai langkah mengelakkan pengguna menanggung sepenuhnya kenaikan harga petrol apabila harga minyak dunia meningkat akibat ketegangan di Asia Barat dan gangguan rantaian bekalan global.

“Apabila harga minyak dunia melonjak, rakyat Malaysia tidak menanggung keseluruhan kenaikan itu. Jika tiada mekanisme seperti BUDI95, rakyat mungkin berdepan harga petrol yang jauh lebih tinggi.

“Ini fakta yang perlu diterangkan kepada rakyat, bukan disorok demi mendapatkan laba politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Onn Hafiz sebelum ini menggesa kuota bulanan BUDI95 dimansuhkan dengan alasan ia membebankan rakyat, terutama golongan yang menggunakan bahan api lebih tinggi bagi tujuan pekerjaan dan urusan harian.

Namun, Sheikh Omar berkata, pendirian Onn Hafiz menimbulkan persoalan kerana UMNO mempunyai tujuh menteri dalam Kabinet Persekutuan, termasuk pemimpin tertinggi parti yang berada dalam struktur membuat keputusan kerajaan.

Katanya, pemimpin UMNO tidak boleh bertindak seolah-olah mereka berada di luar kerajaan apabila dasar yang dipersetujui bersama menerima reaksi negatif daripada rakyat.

“Parti beliau mempunyai tujuh menteri dalam Kabinet Persekutuan. Ada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Adakah Onn Hafiz mahu mengatakan mereka semua tidak memahami dasar kerajaan?

“Jika benar ada kelemahan, bawalah ke meja perbincangan. Jangan serang secara terbuka seolah-olah UMNO bukan sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

BUDI95 diperkenalkan pada September 2025 selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada 2024.

Langkah itu antara usaha mengurangkan ketirisan subsidi, membanteras penyeludupan bahan api serta memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar layak.

Sheikh Omar turut mendakwa Onn Hafiz kerap tidak hadir dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri, menyebabkan beliau mungkin tidak mendapat penjelasan lengkap mengenai beberapa keputusan dasar Persekutuan.

“Kerajaan Madani tidak pernah kata semua dasar sempurna. Sebab itu pelaksanaan sentiasa dinilai dan ditambah baik.

“Namun Johor memerlukan pemimpin yang membawa penyelesaian, bukan pemimpin yang mengulang retorik cybertrooper apabila mahu mengalih perhatian daripada isu sebenar,” katanya.

Berita berkaitan
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
6 jam lalu· Isu semasa
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
October 27, 2026· Politik
Lima tahun dibicarakan, pendakwaan tutup kes terowong Guan Eng
October 27, 2026· Politik
MCA semakin terpinggir dalam BN, dakwa pemimpin PKR
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
6 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
6 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
6 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
13 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok