NACSA, MCMC dan IBM merterai memorandum persefahaman (MoU) sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Negara 2026 dan disaksikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Malaysia melangkah ke fasa baharu transformasi digital apabila Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta IBM Malaysia Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama strategik dalam kecerdasan buatan berdaulat dan teknologi pengkomputeran kuantum.
MoU itu dimeterai sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Negara 2026 dan disaksikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerjasama tersebut antara lain membuka laluan kepada penubuhan Pusat Kecemerlangan Kuantum dan Kecerdasan Buatan Negara atau National Quantum and Artificial Intelligence Centre of Excellence (NQAIC), yang dicadang menjadi platform nasional untuk mempercepat inovasi, membangunkan kepakaran tempatan serta memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi teknologi masa depan.
Menurut kenyataan bersama NACSA, MCMC dan IBM, langkah itu selari dengan usaha Malaysia membina keupayaan AI dan kuantum yang diyakini, selamat serta menepati kepentingan negara.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk meneroka penubuhan NQAIC sebagai platform nasional bagi mempercepat inovasi, mengukuhkan keupayaan negara dan menyediakan Malaysia menghadapi peluang serta cabaran teknologi termaju,” menurut kenyataan itu.
AI berdaulat merujuk kepada keupayaan sesebuah negara mengawal data, infrastruktur, tadbir urus dan penggunaan teknologi AI mengikut undang-undang serta keutamaan nasional.
Pada masa sama, pengkomputeran kuantum dilihat mampu membawa perubahan besar dalam bidang keselamatan siber, penyelidikan, kewangan, kesihatan dan industri berteknologi tinggi.
NQAIC dijangka menghubungkan kerajaan, institusi akademik, pemain industri dan rakan strategik bagi menggalakkan perkongsian ilmu, penyelidikan bersama, pembangunan bakat serta penciptaan inovasi dalam AI dan kuantum.
MoU itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu pembangunan ekosistem, tadbir urus serta keselamatan dipercayai, selain inovasi, pembangunan keupayaan dan bakat.
Dalam aspek pembangunan ekosistem, pihak terlibat akan meneroka langkah membina pusat kecemerlangan nasional melalui kerjasama antara kerajaan, universiti, industri dan rakan strategik. Usaha itu turut menyokong pembangunan serta penggunaan AI dan teknologi kuantum secara bertanggungjawab.
Bagi tadbir urus dan keselamatan, kerjasama itu akan melihat pendekatan untuk memastikan teknologi AI dan kuantum dibangunkan secara selamat, berdaya tahan dan sejajar dengan keutamaan negara.
“Kerjasama ini turut menyokong perkongsian pengetahuan, kolaborasi teknikal, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat dengan memanfaatkan kepakaran serta amalan terbaik di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini mempergiat agenda ekonomi digital, keselamatan siber dan pembangunan teknologi baharu bagi memastikan negara tidak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya turut membina kapasiti sendiri.
Melalui kerjasama NACSA, MCMC dan IBM, Malaysia mahu memperkukuh daya tahan digital, meningkatkan daya saing teknologi serta meletakkan negara sebagai antara peneraju serantau dalam AI berdaulat, inovasi kuantum dan infrastruktur digital selamat.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum