Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin mendakwa Perikatan Nasional (PN) yang pernah diasaskannya kini sudah menjadi “toksik” selepas tersasar daripada perjuangan asal gabungan itu, selain menyifatkan kepimpinan semasa gagal mengekalkan prinsip yang menjadi asas penubuhannya.
Presiden Bersatu itu berkata, walaupun gabungan tersebut masih menggunakan nama PN, hala tuju serta pendekatan yang diamalkan ketika ini tidak lagi sama seperti pada peringkat awal penubuhannya.
“PN ketika ini sudah tidak lagi menampilkan hala tuju seperti yang diperjuangkan ketika gabungan itu ditubuhkan. PN sudah menjadi toksik kerana tergelincir daripada asas perjuangan asal. Walaupun namanya masih PN tetapi bukan lagi PN yang saya pimpin pada peringkat awal dahulu.
“Dahulu orang bangga dengan PN dan yakin gabungan itu mampu memenangi banyak kerusi. Pada pandangan saya, keadaan itu sudah agak rosak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengumuman Calon Bersatu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Bekas Perdana Menteri itu turut mengkritik kepimpinan PAS yang kini menerajui PN dengan mendakwa gabungan tersebut tidak lagi menampilkan keupayaan memimpin dari sudut tadbir urus serta kurang memberi perhatian terhadap amalan demokrasi.
Menurutnya, beberapa kenyataan pemimpin PAS juga disifatkan melampaui batas kerana mencampuradukkan isu agama dan politik sehingga mengelirukan rakyat.
Mengulas pengalaman pada PRN Johor sebelum ini, Muhyiddin berkata, kekeliruan rakyat berpunca daripada kenyataan tertentu yang menyerupai fatwa politik.
“Di Johor, antara faktor kekalahan ialah rakyat menjadi keliru. Bukan kita yang mengeluarkan kenyataan berbentuk fatwa. Kita ikut undang-undang, menghormati hukum agama dan tidak mempergunakan agama untuk tujuan politik.
“Bersatu kekal dengan prinsip diasaskan dan mengamalkan ketelusan serta tadbir urus yang baik,” katanya.
Mengenai PRN Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata, Bersatu menyasarkan kemenangan di semua kerusi yang ditandingi sebagai ukuran awal tahap sokongan rakyat terhadap parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Katanya, keputusan pilihan raya negeri itu penting bagi menilai kekuatan Bersatu selepas parti berkenaan mengambil keputusan bertanding menggunakan logo sendiri di Negeri Sembilan.
Bersatu terdahulu mengumumkan akan bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan, sekali gus menandakan perubahan strategi parti itu selepas hubungan dengan PN semakin meruncing.
Pelaburan negeri hasil usaha PH sebelum Kerajaan Perpaduan: Aminuddin
UMNO teliti 14 tawaran PN sebelum buat keputusan
BN NS akui Tok Min berjaya tingkatkan hasil negeri sepanjang PH tadbir
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
Tengku Zafrul nafi wujud sabotaj dalam kempen calon PKR
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat