Polis membuka kertas siasatan berkait kempen PRN Negeri Sembilan.
Polis Negeri Sembilan membuka 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan setakat 25 Julai, termasuk tiga kes baharu yang direkodkan semalam membabitkan perbuatan khianat terhadap bahan kempen.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata tiga kertas siasatan yang dibuka semalam melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.
Selain itu, dua lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat hingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.
Menurutnya, kes berkenaan melibatkan dua laporan polis di Gemas, Tampin berkaitan kejadian bendera parti dibakar dan gegantung dirosakkan, manakala satu lagi laporan diterima di Titi, Jelebu membabitkan papan iklan yang dikoyakkan serta dirosakkan.
“Secara kumulatif dari 18 hingga 25 Julai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan menerima 28 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Alzafny memaklumkan sebanyak 94 daripada 95 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen yang diterima semalam telah diluluskan, menjadikan keseluruhan permit yang diluluskan sepanjang tempoh kempen meningkat kepada 416.
Beliau menegaskan polis akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan, pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan setiap aktiviti kempen berjalan mengikut lunas undang-undang.
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas. Orang ramai juga diseru mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama kepada PDRM supaya pilihan raya berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan teratur,” katanya.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan kempen berlangsung selama 14 hari selepas hari penamaan calon pada 18 Julai. Pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 28 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
Calon PH DUN Ampangan tumpu penyelenggaraan infrastruktur
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS