Jalaluddin Alias.
Barisan Nasional (BN) menghargai pendirian Perikatan Nasional (PN) yang mengisytiharkan lebih awal persetujuan untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada UMNO sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.
Ketua UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata, perkara itu menunjukkan kesepakatan awal antara kedua-dua gabungan, walaupun tiada sebarang perbincangan dibuat berhubung siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Besar atau pembahagian portfolio Exco.
“Kita tidak ada bincang siapa yang akan jadi Menteri Besar. Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PN kerana membuat deklarasi awal untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada UMNO dan BN.
“Kita juga tidak berbincang soal pembahagian kerusi Exco kerana keutamaan sekarang ialah mencipta kemenangan sebanyak mungkin terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Kemahiran KEMAS di Felda Pasoh 4.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, fokus utama ketika ini ialah memperkukuh persefahaman antara BN dan PN bagi memastikan gabungan itu memperoleh mandat mentadbir Negeri Sembilan.
Menurutnya, soal pembahagian jawatan hanya akan diputuskan selepas kemenangan dicapai, dengan keutamaan diberikan kepada individu yang benar-benar layak mentadbir kerajaan negeri.
“Kita mahu membentuk pentadbiran yang berupaya mengurus tadbir negeri dengan baik. Jika seseorang itu tidak layak memegang sesuatu jawatan, kita tidak akan melantiknya semata-mata untuk memenuhi kuota atau kehendak mana-mana pihak,” katanya.
Mengulas spekulasi sama ada beliau antara calon Menteri Besar, Jalaluddin berkata BN mempunyai ramai pemimpin berkelayakan untuk dipertimbangkan.
“Calon kita ramai. Ada Mohamad Hasan, saya sendiri, Sufian Mat Razif dan ramai lagi. Terpulang kepada Pengerusi BN membuat pilihan. Yang penting, kita mempunyai barisan pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab itu,” katanya.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan kerjasama rasmi antara BN dan PN selepas kedua-dua gabungan mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertandingan sesama sendiri.
Dalam pembahagian kerusi, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi DUN, manakala PN meletakkan calon di baki 11 kerusi.
Hanya mohon sokongan pengundi awal, bukan beri arahan
PMX dedah 50 ekar bandar diisytihar tanah rizab Melayu, nafi abai Bumiputera
PKR tidak perlu bersaing politik identiti
Isu kaum dan agama hanya retorik kempen selepas kehabisan modal: Tze Tzin
22,339 anggota keselamatan mengundi awal esok
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih