Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan kononnya kerajaan pimpinannya mengabaikan kepentingan Bumiputera, khususnya orang Melayu, sambil menegaskan pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk mewujudkan tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, langkah itu dibuat selepas kerajaan mendapati keluasan tanah rizab Melayu di ibu negara semakin berkurangan sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Sejak merdeka pada 1957, tidak ada tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur. Yang ada semuanya dijual. Apabila saya ambil alih kepimpinan negara pada 2022, pada 2023 kita ambil semula tanah Bandar Malaysia seluas 480 ekar yang sebelum ini dimiliki syarikat berkaitan negara China dan syarikat swasta kerana melanggar peraturan.
“Tanah itu kemudian diserahkan untuk diuruskan Petronas dan Khazanah Nasional, dan daripada kawasan tersebut, 50 ekar diisytiharkan sebagai tanah rizab Melayu. Itulah antara tanah paling bernilai di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Malek Razak Sulaiman serta Panglima Tentera Darat, Azhan Md Othman.
Anwar turut menjelaskan cadangan mengisytiharkan kawasan itu sebagai tanah rizab Melayu tidak menerima bantahan daripada mana-mana anggota Jemaah Menteri, termasuk DAP.
Menurutnya, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook hanya meminta penjelasan mengenai rasional keputusan tersebut.
“Saya jelaskan tanah Melayu di Kuala Lumpur semakin berkurangan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ada usaha memeliharanya. Loke kata okey.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tidak ada seorang pun yang membantah. Maka buat kali pertama sejak Merdeka pada 1957, Kerajaan Madani mengisytiharkan tanah paling berharga di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan beberapa pihak yang mendakwa Kerajaan Madani gagal mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera.
Bandar Malaysia merupakan projek pembangunan strategik di ibu negara yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa cadangan pelaburan berskala besar.
Pengambilalihan semula kawasan berkenaan oleh kerajaan pada 2023 membuka ruang kepada penyusunan semula pembangunan, termasuk pewujudan tanah rizab Melayu yang disifatkan Anwar sebagai langkah bersejarah selepas hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan.
PAS yang khianat, tapi kini persoal Bersatu masih mahu kekal dalam PN
22,339 anggota keselamatan mengundi awal esok
PAS salahkan laporan Malaysiakini cetus polemik kenyataan Sanusi
UMNO teliti 14 tawaran PN sebelum buat keputusan
BN NS akui Tok Min berjaya tingkatkan hasil negeri sepanjang PH tadbir
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih