Sidang media bersama Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyifatkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan atau Tok Mat, yang dilaporkan berkata, “Kita akan kejar dia ke Linggi dan kita ramai-ramai lanyak dia,” ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai bukti budaya politik kebencian yang tidak selari dengan semangat perpaduan.
Menurut PH, kenyataan itu menimbulkan persoalan mengapa Menteri Besar sementara, Aminuddin Harun, dijadikan sasaran sedangkan tiada sebarang salah laku dilakukan sepanjang mentadbir negeri.
“Apa salah Tok Min sehingga mahu dilanyak beramai-ramai? Ada dia curi duit rakyat? Ada dia curi bini orang? Tiada. Tiada apa-apa kesalahan yang dilakukannya, namun Tok Mat, Jalal, Hadi dan kumpulan mereka ingin menanamkan kebencian dan kemarahan terhadapnya.
“Jelas sekali, ini adalah bentuk tolong-menolong atas kejahatan dan perbalahan yang dilarang Allah,” menurut kenyataan media bersama PH pada Khamis.
Kenyataan itu turut mengulas naratif “perpaduan ummah” yang dibawa BN dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen PRN, dengan mendakwa kerjasama kedua-dua gabungan tersebut lebih menjurus kepada usaha merampas kuasa berbanding membina perpaduan sebenar.
Menurut PH, konsep perpaduan perlu diasaskan kepada kebaikan dan ketakwaan seperti digariskan dalam Surah Al-Maidah ayat kedua, bukannya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang mempunyai rekod pentadbiran baik.
“Apabila tujuannya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang jelas berprestasi tinggi tanpa alasan munasabah, ia merupakan perpaduan yang dibina atas kejahatan dan perbalahan.
“Sepatutnya perpaduan dibina untuk menyokong prestasi baik kerajaan demi kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu.
PH turut mempersoalkan asas kerjasama UMNO dan PAS dalam PRN kali ini.
Menurut gabungan itu, perpaduan yang dibina semata-mata atas sentimen kaum atau kelompok disifatkan sebagai assobiyyah, sedangkan perjuangan PH berteraskan penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Kami ingin Melayu bersatu, Cina bersatu, India bersatu dan seluruh rakyat Malaysia bersatu, bukan atas dasar assobiyyah tetapi atas dasar kebaikan dan ketakwaan.
“Bagi kami, perpaduan yang dibentuk oleh BN dan PN ini demi kuasa, bukan demi perpaduan ummah. Sejak awal krisis politik Negeri Sembilan, semuanya didorong keinginan mendapatkan kuasa, bukannya demi kepentingan Islam,” katanya.
Kenyataan bersama itu dibuat Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan buat pertama kali BN dan PN bekerjasama di beberapa kerusi bagi mencabar pentadbiran PH yang diterajui Aminuddin Harun.
Kerjasama itu terus menjadi antara isu utama kempen apabila kedua-dua blok saling mempertikaikan motif dan hala tuju gabungan masing-masing.
Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
RCI Tabung Haji: Kerajaan tidak akan kompromi dan tindakan tegas diambil
Dedah semua, jangan pilih-pilih laporan RCI TH demi kepentingan politik: AMK
Jangan ulang RCI hanya kerana tak suka keputusan: Mahfuz
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri