Kontroversi kenyataan Muhammad Sanusi Md Nor.
Di sebalik polemik susulan hasrat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah organisasi media, Ahmad Zahid Hamidi tampil mempertahankan peranan media dengan mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan wartawan sebagai kambing hitam terhadap kenyataan yang dibuat sendiri oleh ahli politik.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, media hanya menjalankan tanggungjawab melaporkan apa yang diperkatakan oleh pemimpin, malah liputan setakat ini dibuat dengan baik tanpa memutarbelitkan kenyataan asal.
“Kalau bab salah, jangan salahkan media. Media melaporkan apa yang dinyatakan, setakat ini liputan media bagus jadi jangan salahkan media dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terbaharu membabitkan Sanusi yang menyatakan hasrat menyaman sebuah organisasi media susulan laporan mengenai ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pada sidang media sama, Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan kononnya berlaku pergaduhan atau keretakan hubungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen PRN.
Katanya, kedua-dua gabungan terus bergerak mengikut semangat persefahaman, manakala kenyataan yang mencetuskan polemik sebelum ini hanya berkait dengan situasi politik di negeri tertentu dan tidak menggambarkan keadaan sebenar di Negeri Sembilan.
“Kami ingin menyatakan tidak ada sebarang pergaduhan, perbezaan pendapat pun tidak.
“Kami bergerak seiring atas nama kesefahaman dan kenyataan mengenai pergaduhan itu sudah saya sanggah kerana tidak sesuai dikeluarkan.
“Mungkin apa yang dinyatakan itu sesuai untuk negerinya, tetapi tidak sesuai di Negeri Sembilan. Jadi ini bukan satu pergaduhan, sebaliknya sesuatu yang pada hemat saya tidak seharusnya berlaku,” katanya.
Isu hubungan antara BN dan PN kembali menjadi perhatian selepas beberapa pemimpin politik mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai kerjasama antara kedua-dua gabungan sepanjang kempen PRN.
PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos dengan kempen kini memasuki fasa akhir, ketika parti-parti bertanding giat meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian.
PMX dedah 50 ekar bandar diisytihar tanah rizab Melayu, nafi abai Bumiputera
PKR tidak perlu bersaing politik identiti
Isu kaum dan agama hanya retorik kempen selepas kehabisan modal: Tze Tzin
22,339 anggota keselamatan mengundi awal esok
PAS salahkan laporan Malaysiakini cetus polemik kenyataan Sanusi
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih