Pendakwaan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menyelesaikan 560 kes atau 93 peratus daripada keseluruhan 607 kertas siasatan yang dibuka sepanjang 2025 membabitkan pelbagai kesalahan kandungan memudaratkan di ruang siber.
Kementerian Komunikasi memaklumkan kes yang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merangkumi kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam serta jelik melampau.
Menurut jawapan bertulis kementerian yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, sebanyak 20 kes telah dibawa ke mahkamah, dengan 12 daripadanya sudah diputuskan.
“Mahkamah mengenakan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM230,000, manakala enam pesalah dijatuhi hukuman penjara antara enam hingga 10 bulan,” menurut jawapan itu.
Selain pendakwaan, MCMC turut menawarkan kompaun bagi 34 kes bernilai RM2.29 juta serta mengeluarkan 119 Surat Amaran. Sebanyak 47 kes masih dalam siasatan, manakala selebihnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Senator Wu Him Ven yang meminta statistik penyiasatan, pertuduhan dan sabitan di bawah Seksyen 233 sepanjang Januari hingga Disember 2025 mengikut kategori kesalahan termasuk isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja), buli siber, penyebaran maklumat palsu, kandungan lucah serta kesalahan lain.
Bagi kes berkaitan 3R, kementerian memaklumkan MCMC membuka 202 kertas siasatan sepanjang tempoh sama. Daripada jumlah itu, 13 kes didakwa di mahkamah, manakala sembilan kes telah diputuskan dengan jumlah denda RM180,000 dan lima pesalah dikenakan hukuman penjara.
Sehingga 30 Jun lalu, MCMC turut menawarkan kompaun bagi 10 kes berkaitan 3R berjumlah RM640,000 selain mengeluarkan 52 Surat Amaran. Lapan kes masih disiasat manakala bakinya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Dalam jawapan bertulis berasingan kepada Senator Edward Linggu Bukut mengenai usaha memperkukuh keselamatan kanak-kanak di internet, Kementerian Komunikasi memaklumkan pelaksanaan Ops Pedo berjaya membawa kepada penahanan 31 suspek dan rampasan lebih 920,000 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).
“Ops Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan beberapa individu dengan rampasan lebih 40,000 fail CSAM. Ops Pedo 2.0 pada September 2025 pula melibatkan 37 lokasi, membawa kepada penahanan 31 suspek serta rampasan lebih 880,000 fail CSAM.
“Daripada jumlah itu, 17 suspek telah dituduh di mahkamah. Kejayaan ini membuktikan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak di ruang siber,” menurut kementerian.
Sebagai langkah berterusan, kementerian memaklumkan MCMC menjalankan pemantauan proaktif terhadap kandungan dalam talian. Sejak 2022 hingga 15 Julai lalu, sebanyak 78,741 permohonan penurunan kandungan memudaratkan dikemukakan kepada penyedia platform, dengan 61,887 kandungan atau 79 peratus berjaya diturunkan.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, termasuk penyebaran kandungan yang mengancam ketenteraman awam, menggalakkan kebencian atau memudaratkan pengguna internet.
Kenyataan fitnah, Anwar tuntut Tuan Ibrahim mohon maaf
KDN tunggu hasil siasatan isu ucapan Sanusi
Laporan RCI Tabung Haji tamparan buat umat Islam, buka mata rakyat
Anwar mahu episod kerugian Tabung Haji tidak berulang
Tabung Haji bayar bonus besar RM220 juta ketika defisit: RCI
Altimet gesa tumpuan diberi kepada nasib pendeposit Tabung Haji
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO