Akaun media sosial kini perlu pengesahan umur 16 tahun guna dokumen rasmi

August 4, 2026 · Isu semasa

Semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau sijil kelahiran bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun di platform mereka.

Kementerian Komunikasi memaklumkan, syarat itu dilaksanakan menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu sebagai sebahagian usaha memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dalam talian.

Menurut kementerian, penyedia platform yang gagal mematuhi syarat berkenaan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

“Pengesahan umur hendaklah dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf. Bagi memastikan pematuhan, MCMC sedang memantau pelaksanaan CPC oleh pemberi perkhidmatan berlesen.

“MCMC juga telah mengeluarkan notis bertulis di bawah Subseksyen 30(2) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 kepada penyedia perkhidmatan media sosial bagi mendapatkan penjelasan berhubung ketidakpatuhan serta langkah pelaksanaan mekanisme pengesahan umur,” menurut jawapan bertulis kementerian yang disiarkan di laman web Parlimen pada Selasa.

Menurut kementerian, penyedia perkhidmatan yang disabitkan kesalahan di bawah Akta 866 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta serta denda tambahan RM100,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mempunyai kuasa mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.

Jawapan itu diberikan kepada Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang ingin mengetahui keberkesanan pelaksanaan Akta 866 dan CPC dalam melindungi kanak-kanak daripada buli siber, eksploitasi seksual, kandungan berbahaya serta ketagihan media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian memaklumkan MCMC mengemukakan 292,102 permohonan penurunan kandungan penipuan dan akaun palsu bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2026, dengan 279,875 kandungan atau 96 peratus berjaya diturunkan.

Bagi iklan, produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan pula, sebanyak 20,114 permohonan dikemukakan, manakala 17,285 kandungan atau 86 peratus telah diturunkan daripada platform digital.

Selain itu, sebanyak 17,418 laman sesawang disekat dalam tempoh sama. Daripada jumlah itu, 5,103 kes berada di bawah bidang kuasa MCMC, manakala baki 12,315 kes melibatkan agensi lain.

Kementerian menjelaskan tindakan menurunkan kandungan, menyekat akaun dan laman sesawang dibuat selepas penilaian terhadap aduan diterima serta berpandukan garis panduan komuniti platform dan undang-undang sedia ada.

Bagi kandungan menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja, MCMC mengemukakan 14,169 permohonan penurunan kandungan antara 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2026. Sebanyak 8,750 kandungan atau 62 peratus telah diturunkan.

Dalam tempoh sama, MCMC turut menyiasat 462 kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan isu 3R. Daripada jumlah itu, 22 kes didakwa di mahkamah, 16 telah diputuskan manakala enam lagi masih dalam prosiding.

Pelaksanaan CPC merupakan antara langkah utama kerajaan selepas Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dikuatkuasakan bagi meningkatkan akauntabiliti penyedia platform digital, khususnya dalam melindungi kanak-kanak daripada risiko jenayah siber, kandungan berbahaya dan penyalahgunaan media sosial.

Berita berkaitan
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
3 jam lalu· Isu semasa
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
20 jam lalu· Isu semasa
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
20 jam lalu· Politik
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
October 25, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
4 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
4 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
4 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
6 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok