Pemergian Kamarool Yusoff dirasai industri seni negara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Haji Yusoff yang disifatkan sebagai antara legenda seni tanah air yang meninggalkan kesan mendalam dalam industri perfileman Malaysia.
Menerusi hantaran di media sosial malam ini, Fahmi mengimbau dua watak ikonik lakonan Allahyarham iaitu Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja dan Cik Man menerusi Rock Ooo!, yang terus terpahat dalam ingatan peminat merentasi generasi.
“Peminat filem Melayu, khususnya era 80-an, pasti tidak dapat melupakan watak Farouk menerusi Gila-Gila Remaja. Lakonan Allahyarham begitu berkesan hingga nama watak itu terus melekat di hati peminat.
“Seorang legenda yang telah meninggalkan kesan besar dalam dunia perfileman tanah air,” katanya.
Fahmi turut menyifatkan Allahyarham sebagai anak seni yang dihormati bukan sahaja dalam kalangan penggiat industri, malah oleh pencinta seni di seluruh negara.
“Terima kasih Farouk/Cik Man kerana telah mewarnai dunia seni dan mencipta begitu banyak kenangan indah buat generasi demi generasi.
“Jasa, sumbangan dan karyamu akan terus hidup dalam ingatan kami,” katanya lagi.
Beliau turut mendoakan semoga Allahyarham diampunkan segala dosa, dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Pemergian Kamarool disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada industri hiburan tempatan memandangkan beliau berjaya menghidupkan pelbagai watak yang kekal menjadi sebutan sehingga hari ini.
Allahyarham dikenali menerusi pelbagai filem popular sepanjang era kegemilangan industri perfileman tempatan, dengan watak Farouk dalam Gila-Gila Remaja dan Cik Man dalam Rock Ooo! antara yang paling diingati.
Lakonan bersahaja serta karakter yang dibawakan menjadikan beliau antara pelakon yang meninggalkan impak besar kepada dunia seni Malaysia.
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum