PAS.
PAS diminta mengemukakan bukti melalui saluran undang-undang sekiranya benar DAP dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai agenda menghapuskan Melayu dan Islam atau mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Wanita Parti Amanah, Aiman Athirah Sabu berkata dakwaan serius seperti itu tidak wajar hanya dijadikan bahan ceramah atau retorik politik untuk membangkitkan ketakutan serta emosi rakyat.
Menurutnya, Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan, sistem kehakiman dan institusi penguatkuasaan yang boleh digunakan jika terdapat bukti mana-mana pihak melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang.
“Jika benar terdapat bukti DAP dan PH mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam, mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan atau menjalankan usaha menentang asas negara ini, bawalah bukti terbabit ke mahkamah dan saluran undang-undang yang sah.
“Jangan hanya mengulang retorik bersifat dakwaan dalam ceramah, kuliah, kenyataan media atau tulisan politik yang membakar emosi, khususnya pengikut dan rakyat yang termakan propaganda sebegini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Aiman Athirah turut mempersoalkan tindakan PAS yang pernah mempunyai ruang dalam pentadbiran negeri dan Persekutuan, namun tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap DAP sekiranya benar parti itu menjadi ancaman seperti yang sering didakwa.
Beliau berkata, PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP dalam beberapa fasa politik termasuk melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
“Jika benar DAP dan PH adalah ancaman seperti yang sering digambarkan, mengapa ketika mempunyai ruang kuasa, PAS tidak mengambil tindakan undang-undang untuk mengharamkan DAP?
“Mengapa tidak dibawa bukti DAP melanggar Perlembagaan dan mengapa tidak menggunakan institusi negara untuk membuktikan dakwaan terbabit?” katanya.
Dalam pada itu, Aiman Athirah mengingatkan pemimpin yang membawa nama Islam dalam perjuangan politik supaya tidak menjadikan agama sebagai alat untuk membina permusuhan atau menyebarkan kebencian.
Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum niat, iman atau kesetiaan pihak lain tanpa bukti dan proses yang adil.
“Kebenaran dalam Islam ditegakkan dengan ilmu, hujah, keadilan dan akhlak, bukan dengan sikap melampau, penghukuman terburu-buru atau membina permusuhan atas nama agama.
“Mempertahankan Melayu dan Islam tidak memerlukan fitnah. Melayu tidak akan kuat dengan membenci kaum lain dan Islam tidak akan mulia dengan menghina manusia lain,” katanya.
Isu dakwaan DAP mengancam kedudukan Melayu dan Islam sering menjadi bahan perdebatan politik, khususnya antara parti kerajaan dan pembangkang.
PAS sebelum ini kerap mengkritik kerjasama DAP dalam PH, manakala pemimpin kerajaan menegaskan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu terus dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Fahmi: Langkah MP Bersatu dan Bebas bahas RCI TH disifatkan bertanggungjawab
Wawasan didakwa kawal PN, Bersatu persoal pendirian gabungan
Kerajaan Madani tumpu usaha pulih TH, bukan raih keuntungan politik: Aiman Athirah
Ibrahim Ali sindir PAS, sekutu ‘bela’ UMNO dalam isu RCI TH keluar dewan
Mahfuz: Kalau mahu bela pendeposit TH, pembangkang patut duduk dan bahas
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan