Mahfuz Omar.
Ahli Parlimen PAS dan Wawasan diselar kerana meninggalkan Dewan ketika sidang khas Parlimen membincangkan laporan RCI Tabung Haji, sedangkan kehadiran mereka ke Parlimen menggunakan kemudahan serta peruntukan yang ditanggung rakyat.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, wakil rakyat tidak sepatutnya hadir ke Parlimen sekadar untuk merekodkan kehadiran, sebaliknya perlu mengambil bahagian dalam prosiding dan membawa suara rakyat.
“Jari boleh direkodkan hadir. Tetapi amanah tidak boleh dibuktikan dengan butang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, setiap Ahli Parlimen menggunakan kemudahan rasmi termasuk perjalanan, pengangkutan, penginapan dan elaun ketika menghadiri persidangan.
Justeru, katanya, rakyat berhak mempersoalkan nilai kerja yang diberikan sekiranya wakil rakyat memilih meninggalkan Dewan ketika isu penting sedang dibincangkan.
“Rakyat tidak menghantar Ahli Parlimen ke Kuala Lumpur untuk menjadi penonton. Rakyat menghantar mereka untuk mewakili dan membawa suara rakyat,” katanya.
Menurut Mahfuz, tindakan keluar Dewan lebih mengecewakan kerana isu Tabung Haji sering menjadi bahan kritikan pembangkang di luar Parlimen.
“Di luar Dewan mereka paling lantang bercakap tentang Tabung Haji. Di dalam Dewan, apabila Tabung Haji dibincangkan, mereka pula meninggalkan gelanggang.
“Datang meminta jawapan, tetapi keluar ketika jawapan hendak diberikan,” katanya.
Mahfuz turut menolak alasan sidang khas itu perlu ditangguhkan sehingga Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pulih dan dapat hadir.
Katanya, prosiding Parlimen masih boleh diteruskan tanpa kehadiran Perdana Menteri, manakala semua Ahli Parlimen sudah dimaklumkan mengenai format sidang yang diadakan khusus untuk memberi penerangan berkaitan laporan RCI Tabung Haji.
Beliau berkata, pendeposit Tabung Haji berhak mendapat penjelasan rasmi mengenai keadaan institusi itu, termasuk tindakan kerajaan susulan penemuan RCI.
“Kalau tidak mahu mengambil bahagian, seharusnya dari awal tidak hadir ke Parlimen dan menghabiskan wang rakyat,” katanya.
Mahfuz mendakwa tindakan meninggalkan Dewan selepas datang ke Kuala Lumpur dengan kos perjalanan, penginapan dan elaun yang ditanggung Parlimen menimbulkan persoalan mengenai penggunaan peruntukan awam.
“Jangan biarkan rakyat menanggung kos untuk wakil rakyat yang memilih untuk tidak menjalankan tugas yang tersedia di hadapan mereka,” katanya.
Kes saman: Najib bantah 80 peratus keterangan bekas CEO 1MDB
Rosmah diberi sebulan bayar RM67.46 juta kepada syarikat emas Lubnan
Ibrahim Ali sindir PAS, sekutu ‘bela’ UMNO dalam isu RCI TH keluar dewan
Mahfuz: Kalau mahu bela pendeposit TH, pembangkang patut duduk dan bahas
Syed Saddiq bidas pembangkang boikot keluar dewan, ini amanah pendeposit TH
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan