Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel pada 7 Ogos lalu.
AKPS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu dibuat susulan maklumat risikan yang diterima sebelum pemeriksaan dijalankan terhadap kontena berkenaan.
Berdasarkan semakan awal, penghantaran tersebut disyaki tidak mematuhi Item 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang melarang pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Siasatan turut meliputi penentuan sama ada barangan terbabit dikategorikan sebagai barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), selain meneliti perundangan subsidiari berkaitan.
AKPS menegaskan tindakan terhadap penghantaran berkenaan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel,” menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan turut menegaskan pendirian Kerajaan Madani dalam isu tersebut kekal jelas dan konsisten, termasuk terhadap cubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bercanggah dengan undang-undang serta ketetapan kerajaan.
Pemeriksaan dan penahanan kontena itu berlaku ketika Malaysia terus mengekalkan sekatan terhadap eksport barangan ke Israel sebagai sebahagian daripada pendirian negara berhubung konflik di Asia Barat.
Siasatan lanjut kini akan menentukan jenis serta tujuan sebenar barangan dalam kontena berkenaan dan sama ada terdapat pelanggaran terhadap peraturan eksport yang sedang berkuat kuasa.
Jerebu makin meluas, 29 kawasan catat IPU tidak sihat
Gempa bumi lemah 3.1 gegar perairan Batu Pahat
Syed Azman Tokoh Perdana Maulidur Rasul, Anwar ucap tahniah kepada semua penerima
Cadangan Audit forensik FELDA akan dibawa ke Kabinet: Anwar
Zahid sokong siasatan Tabung Haji selepas 2017
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri