TH terus perkukuh kewangan, tadbir urus

August 10, 2026 · Isu semasa

Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi kewangan Islam dengan memberi tumpuan kepada tadbir urus, prestasi kewangan, pengurusan risiko serta penambahbaikan perkhidmatan bagi memastikan kelestariannya untuk generasi akan datang.

Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain berkata usaha transformasi dilaksanakan secara menyeluruh sejak beberapa tahun lalu menerusi pelan pemulihan dan penstrukturan semula.

Menurutnya, perubahan itu merangkumi struktur organisasi, pengurusan kewangan, kawalan dalaman, pematuhan, pengurusan risiko dan budaya kerja yang lebih menekankan integriti, akauntabiliti serta profesionalisme.

“Matlamat utama transformasi adalah memastikan TH terus menjadi institusi kewangan Islam yang kukuh, berdaya tahan dan diyakini, selari dengan aspirasi pengasasnya, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid,” katanya.

Abdul Rashid berkata, penstrukturan semula TH turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kedudukan kewangan, peningkatan kualiti pelaburan, kebajikan pendeposit serta kemampuan institusi itu mengurus kos menunaikan haji.

Usaha memperkukuh kedudukan kewangan turut membolehkan TH meningkatkan agihan keuntungan kepada pendeposit daripada 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.5 peratus pada tahun lalu.

TH ditubuhkan bagi membantu umat Islam di Malaysia membuat simpanan untuk menunaikan ibadah haji, selain mengurus dana pendeposit dan menyediakan perkhidmatan haji.

Dalam aspek pengurusan haji, Abdul Rashid berkata TH terus memberi penekanan kepada kelestarian jangka panjang dengan meningkatkan kesedaran pendeposit mengenai kos sebenar ibadah berkenaan serta menggalakkan persediaan kewangan lebih awal.

Pendekatan itu menyumbang kepada penurunan kadar penangguhan tawaran haji kira-kira 50 peratus kepada 18 peratus pada musim haji 2026.

Antara usaha diperkenalkan ialah kempen #menujuistitoah yang menekankan empat aspek kemampuan menunaikan haji, iaitu kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran atau kuota.

“Persediaan haji bukan hanya bergantung kepada kemampuan kewangan, tetapi turut memerlukan kesiapsiagaan ilmu, kesihatan dan kerohanian,” katanya.

Abdul Rashid yang dilantik sebagai Pengerusi TH pada 2023 turut berkata institusi itu mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pengurusan haji dunia selepas menerima pengiktirafan tertinggi Kerajaan Arab Saudi menerusi ‘Labaytum Diamond Award’ selama dua tahun berturut-turut sejak 2025.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata aspek pendigitalan turut diperkasa bagi memudahkan urusan pendeposit.

Katanya, TH memperbaharui platform digital dan laman sesawang serta memperkenalkan Kalkulator Simpanan Haji bagi membantu orang ramai merancang simpanan secara lebih sistematik.

“Langkah itu diharap dapat menggalakkan budaya simpanan lebih konsisten dalam kalangan pendeposit sekali gus menjamin kelestarian dana haji untuk jangka panjang,” katanya.

TH turut memperkenalkan inisiatif Haji Lestari pada musim haji 2026 yang memberi tumpuan kepada pengumpulan kain ihram terpakai untuk diproses semula menjadi produk bernilai tambah, selaras dengan usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar.

Berita berkaitan
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
October 25, 2026· Isu semasa
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
October 22, 2026· Isu semasa
MOF belum putuskan bantuan kewangan untuk AirAsia
October 19, 2026· Isu semasa
Hampir RM11 bilion STR, SARA disalur hingga September
October 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
2 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
3 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
3 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
3 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
5 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok