Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Dakwaan Islam semakin terpinggir di Malaysia tidak berasas, sebaliknya kedudukan syiar Islam terus diperkasakan menerusi peningkatan peruntukan kerajaan, pengukuhan institusi agama serta pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan Islam.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Hasan Bahrom berkata kedudukan dan pembangunan Islam tidak wajar dinilai berdasarkan percaturan politik atau pihak yang memegang tampuk pemerintahan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat melalui dasar serta usaha yang dilaksanakan.
Menurutnya, dakwaan ada pihak membawa agenda yang menyambung kerja penjajah selain menghakis kedudukan Islam dan Melayu juga perlu dinilai berdasarkan fakta serta tindakan sebenar.
“Dakwaan seperti ini perlu dinilai berdasarkan fakta dan tindakan yang berlaku.
“Hakikatnya, di bawah Kerajaan Madani, peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.9 bilion pada 2024 kepada RM2 bilion pada 2025 dan RM2.6 bilion bagi 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasan berkata, peningkatan peruntukan itu meliputi pelbagai keperluan pembangunan Islam termasuk pendidikan, pengukuhan institusi agama, masjid serta pembangunan insan.
Beliau turut menyifatkan perhatian kerajaan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai antara bukti usaha memperkukuh tadbir urus dan memelihara amanah umat Islam.
Katanya, masyarakat perlu membudayakan perbezaan pandangan secara matang dengan mengemukakan fakta dan hujah, bukannya menjadikan perbezaan pendapat sebagai ruang untuk menyerang peribadi, menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan.
Pada masa sama, Hasan berkata kedudukan Islam di Malaysia turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran pelbagai program keagamaan.
Antaranya termasuk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa serta Sama’ Hadis yang menghimpunkan ulama, ilmuwan dan peserta dari pelbagai negara.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan usaha memperkukuh syiar Islam terus berjalan menerusi pembangunan institusi, pendidikan, pengurusan hal ehwal agama dan program dakwah di dalam serta luar negara.
Isu kedudukan Islam dan Melayu sering menjadi perhatian dalam perdebatan politik negara, terutama apabila berlaku perubahan kerajaan atau perbezaan pendekatan dalam pentadbiran. Dalam konteks itu, Yadim menggesa penilaian terhadap kedudukan Islam dibuat berdasarkan dasar, peruntukan dan pencapaian sebenar, bukan semata-mata persepsi politik.
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum