TH lulus beli pegangan dalam Putrajaya Perdana ketika dikawal Jho Low

18 jam lalu · Isu semasa

Lembaga Tabung Haji (TH) meluluskan pembelian 30 peratus pegangan dalam Putrajaya Perdana Berhad pada 2014 ketika syarikat itu masih berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG Bhd.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata perkara itu berdasarkan keterangan bersumpah seorang pengarah Putrajaya Perdana yang direkodkan dalam prosiding mahkamah berkaitan SRC International.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan tersebut, Putrajaya Perdana terus berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG Bhd sehingga proses penjualan syarikat itu diselesaikan pada 13 April 2015.

“Ketika Putrajaya Perdana berada di bawah kawalan Jho Low, ketika itulah panel pelaburan, lembaga dan menteri meluluskan pembelian serta perjanjian jual beli ditandatangani.

“Mahkamah tidak membuat sebarang penemuan mengenai perkara ini dan ia kekal sebagai keterangan bersumpah dalam rekod,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat semalam.

Amir Hamzah berkata, panel pelaburan TH meluluskan cadangan pembelian pada 24 Julai 2014, sebelum mendapat kelulusan lembaga pada 25 Ogos dan menteri pada 27 Ogos tahun sama. Perjanjian jual beli kemudian ditandatangani pada 3 Disember 2014.

Lebih menjadi persoalan, katanya, panel pelaburan TH pada 24 Julai 2014 sudah meminta pihak pengurusan mengenal pasti identiti pemegang saham muktamad penjual.

“Namun, penilaian tersebut tidak merekodkan sebarang jawapan daripada pihak pengurusan dan jual beli tetap diteruskan,” katanya.

TH membayar RM193.3 juta kepada Cendana Destini pada Disember 2014 bagi memperoleh 30 peratus ekuiti dalam Putrajaya Perdana, syarikat yang telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia sejak 2010.

Pelaburan itu dibuat berdasarkan dua sasaran utama, iaitu Putrajaya Perdana disenaraikan semula dalam tempoh setahun dan mencatat keuntungan RM86 juta pada 2015.

Bagaimanapun, kedua-dua sasaran itu gagal dicapai menyebabkan TH melaksanakan opsyen jual pada Mac 2018 bernilai RM210.7 juta.

Penjual kemudian dituntut mengambil semula saham berkenaan, namun gagal membuat pembayaran.

Sehingga tahun kewangan 2024, pelaburan tersebut mengalami susut nilai sepenuhnya berjumlah RM193.5 juta.

Amir Hamzah berkata, TH kini mengambil tindakan undang-undang berkaitan pelaburan itu dan telah memperoleh injunksi Mareva atau perintah pembekuan aset.

“Perbicaraan ditetapkan pada 23 Jun 2027,” katanya.

Isu pelaburan Putrajaya Perdana menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam prosiding RCI TH yang meneliti keputusan dan tadbir urus pelaburan institusi itu, termasuk beberapa pelaburan yang dibuat sebelum ini.

Berita berkaitan
Kes saman: Najib bantah 80 peratus keterangan bekas CEO 1MDB
8 jam lalu· Politik
Fahmi: Langkah MP Bersatu dan Bebas bahas RCI TH disifatkan bertanggungjawab
9 jam lalu· Politik
Mahfuz hentam MP PAS, Wawasan: Jangan makan duit rakyat secara percuma
14 jam lalu· Politik
Kerajaan Madani tumpu usaha pulih TH, bukan raih keuntungan politik: Aiman Athirah
15 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Rakyat dapat 10GB data percuma sempena HKHM 2026
9 jam lalu · Isu semasa
Wan Azizah: Anwar dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini
15 jam lalu · Isu semasa
Lesen judi: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan kerajaan Kedah
15 jam lalu · Isu semasa
Jerebu mula meningkat, lapan kawasan catat IPU tidak sihat
18 jam lalu · Isu semasa
RM1.5 bilion kepada orang tengah, Al-Rawda jadi kerugian terbesar TH: Menteri Kewangan
18 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan
July 31, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok