Anwar: Memang ada ‘sakau’ dalam Tabung Haji

August 15, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan penggunaan istilah “sakau” bagi menggambarkan dakwaan penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH), sambil menegaskan isu itu perlu disiasat secara profesional tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mana-mana pihak.

Anwar berkata, kewujudan unsur penyelewengan dalam TH bukan tuduhan dibuat secara sembarangan, sebaliknya mempunyai kaitan dengan penemuan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan kepada umum baru-baru ini.

“Memang ada sakau dalam TH. RM12 bilion hilang itu bukan sakau? Memang ada,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Beliau berkata, istilah “sakau” digunakan dengan sengaja walaupun ada pihak yang tidak selesa dengan perkataan itu.

Anwar turut menjelaskan keputusan mendedahkan laporan RCI berkaitan TH bukan dibuat secara bersendirian, sebaliknya diputuskan bersama Kabinet. Menurutnya, tiada anggota Kabinet membantah cadangan tersebut ketika ia dibawa untuk pertimbangan.

Malah, katanya, ada anggota Kabinet yang berpandangan siasatan terhadap isu TH tidak sepatutnya terhenti pada 2020, sebaliknya perlu diperluaskan kepada tahun-tahun berikutnya jika terdapat asas untuk berbuat demikian.

“Kalau tanya saya, saya akan pilih untuk dedahkan awal. Tetapi Tabung Haji menyatakan kalau dedah, ada risiko kepada Tabung Haji kerana mereka perlu buktikan dahulu kepada rakyat kecelaruan amalan penyakau,” katanya.

Isu pengurusan TH sudah lama menjadi perhatian selepas pelbagai persoalan berkaitan kedudukan kewangan dan pengurusan institusi itu dibangkitkan. Penubuhan RCI pula dicadangkan oleh pentadbiran terdahulu dan disiapkan ketika pentadbiran berikutnya sebelum laporan berkenaan dibawa untuk dibentangkan.

Anwar berkata, beliau bersedia meneruskan siasatan sekiranya terdapat keperluan untuk memperluaskan tempoh atau skop siasatan.

“Saya jawab, ya, sambung dan kita dedahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengkritik pihak yang enggan berdepan isu berkenaan secara terbuka, termasuk Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa meninggalkan Dewan Rakyat ketika laporan RCI TH dibahaskan.

Beliau turut mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan yang membentangkan serta mengambil bahagian dalam perbahasan laporan berkenaan.

Anwar menegaskan proses siasatan, pendakwaan dan hukuman bukan bidang kuasa Perdana Menteri, sebaliknya perlu dilaksanakan badan penguat kuasa dan mahkamah berdasarkan bukti.

“Jangan berlengah, jangan bertolak ansur, jangan kira parti mana, jawatan mana, kaum mana. Salah menyakau, tangkap dan hukum mereka,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman sebelum kesalahan dibuktikan melalui proses undang-undang.

“Biar badan penguatkuasaan siasat secara profesional, bertindak secara profesional,” katanya.

Berita berkaitan
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
3 jam lalu· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
October 26, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
October 28, 2026 · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
2 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
2 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
2 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
3 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok