MCMC buru dalang vandalisme, curi aset telekomunikasi di Sabah hingga rugi RM17.3 juta

August 20, 2026 · Isu semasa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, agensi utiliti dan pemain industri bagi membanteras kegiatan vandalisme serta kecurian infrastruktur telekomunikasi di negeri itu.

Usaha bersepadu berkenaan bukan hanya tertumpu kepada lokasi kejadian, malah turut menyasarkan rangkaian penjualan komponen yang dicuri bagi memutuskan rantaian kegiatan terbabit dari tapak hingga ke pasaran.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 1,191 insiden gangguan perkhidmatan telekomunikasi direkodkan di Sabah bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026.

Insiden itu membabitkan 257 tapak telekomunikasi di 23 daerah dengan anggaran kerugian mencecah RM17.3 juta akibat vandalisme, kerosakan dan kecurian komponen.

Menurut MCMC, kerosakan infrastruktur telekomunikasi bukan sekadar menyebabkan kerugian kepada syarikat, malah boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk termasuk komunikasi, pendidikan, perniagaan, urusan kerajaan serta keperluan ketika kecemasan.

“Vandalisme telekomunikasi bukan sekadar menyebabkan kerosakan aset, malah boleh mengganggu perkhidmatan yang menjadi keperluan harian rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kos membaiki dan menggantikan infrastruktur yang rosak turut memberi kesan kepada usaha memperluas liputan serta meningkatkan kualiti rangkaian apabila sumber terpaksa dialihkan untuk kerja pemulihan.

MCMC berkata pendekatan membanteras kegiatan terbabit perlu meliputi perkongsian maklumat dan risikan, pemantauan kawasan berisiko, pengesanan modus operandi serta tindakan terhadap rangkaian jual beli komponen yang disyaki diperoleh secara tidak sah.

Dari sudut perundangan, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menetapkan perbuatan mengusik, mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan kemudahan rangkaian sebagai satu kesalahan.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Usaha itu turut diperkukuh menerusi Program Taklimat “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib.

Program berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk berkongsi maklumat berkaitan modus operandi kecurian, teknologi keselamatan, amalan terbaik serta pendekatan penguatkuasaan bagi melindungi infrastruktur telekomunikasi.

MCMC berkata kerjasama dengan semua pihak akan terus diperkukuh bagi memastikan infrastruktur komunikasi kekal berfungsi, pelaburan pembangunan dapat dimanfaatkan secara optimum dan rakyat Sabah menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang stabil serta boleh dipercayai.

Berita berkaitan
Lebih 1,500 warga Papar sertai kempen Internet Selamat
24 jam lalu· Isu semasa
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
August 22, 2026· Isu semasa
Ancaman scam makin membimbangkan, 5,944 laporan dalam empat bulan: Nie Ching
August 22, 2026· Isu semasa
Fahmi mahu syarikat telco jelaskan isu pendaftaran talian untuk tujuan scam
August 20, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Insiden bom Selatan Thailand, rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan
7 jam lalu · Isu semasa
Kos sara hidup, pelaburan jadi fokus Belanjawan 2027: Fahmi
10 jam lalu · Isu semasa
Mekanisme subsidi diesel bakal ditambah baik: Armizan
August 22, 2026 · Isu semasa
Polis rakam keterangan Hadi, telefon pentadbir Facebook diambil: Laporan
August 22, 2026 · Isu semasa
Sultan Brunei kurnia Darjah Kerabat kepada Anwar
August 22, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok