Fahmi dalam temu bual audio siar bersama Agenda Daily.
Kerajaan mahu syarikat media memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi tanpa mengorbankan tenaga kerja sedia ada, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, inisiatif Dana Inovasi Media disediakan bagi membantu organisasi media melakukan penyesuaian melalui perolehan peralatan, latihan peningkatan kemahiran serta penggunaan teknologi AI dalam operasi bilik berita.
Menurutnya, fasa pertama dana itu memperuntukkan RM30 juta bagi membantu industri media mendepani cabaran pendigitalan, manakala pengumuman mengenai fasa kedua dijangka dibuat dalam beberapa minggu akan datang.
“Mungkin dalam beberapa minggu yang akan datang ini, kita akan umumkan Dana Inovasi Media yang kedua. Jumlahnya berapa, nanti akan kita umumkan,” katanya dalam temu bual audio siar bersama Agenda Daily, malam tadi.
Fahmi menegaskan penggunaan AI perlu dilihat sebagai alat untuk membantu wartawan, bukannya menggantikan peranan manusia dalam penghasilan berita.
“Saya tidak mahu AI menggantikan wartawan. Apa keunikan media asli berbanding media AI? Media asli masih ada pemikiran manusia, gaya penulisan dan nafas manusia. Sentuhan manusia ini ialah perkara yang paling penting,” katanya.
Beliau turut mengingatkan industri supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada ejen AI dalam menghasilkan berita, sebaliknya memastikan kewujudan sumber berita tempatan yang bebas dan berwibawa.
“Kita tidak mahu berita dihasilkan sama ada oleh AI atau kita hanya dapat berita daripada sumber luar. Mesti ada sumber yang berdaulat dalam negara kita, asli Malaysia. Media Malaysia mesti bebas, berdikari dan ada masa depan,” katanya.
Mengulas cabaran industri, Fahmi berkata media tradisional berdepan tekanan besar susulan ledakan media sosial serta perubahan corak penggunaan berita dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) dan Generasi Alpha.
Beliau berkata, perbelanjaan pengiklanan atau AdEx media tradisional merosot antara 40 hingga 50 peratus, daripada anggaran RM4.5 bilion kepada RM2 bilion, susulan peralihan kira-kira RM2.5 bilion kepada platform media sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik syarikat media meneroka sumber pendapatan baharu menerusi platform digital dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembelian iklan konvensional.
Dalam masa sama, Fahmi mengingatkan pengamal media supaya tidak mengabaikan etika kewartawanan demi menjadi pihak pertama menyiarkan berita.
“Paling penting, breaking news ok, breaking rules jangan. Dalam bidang komunikasi, manteranya ialah state it once, state it right (nyatakan sekali dan dengan tepat),” katanya.
Beliau turut menyifatkan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai pencapaian penting Kerajaan MADANI selepas penantian lebih 50 tahun, sekali gus menyediakan ruang kepada industri menetapkan etika secara kendiri tanpa campur tangan kerajaan.
Fahmi juga menegaskan pendirian menolak campur tangan dalam urusan editorial serta menyuarakan kebimbangan terhadap penggabungan syarikat media tempatan yang boleh menjejaskan kepelbagaian suara dalam demokrasi.
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum