Menara FINAS buka era baharu industri filem: Fahmi

August 24, 2026 · Isu semasa

Menara FINAS Damansara rasmi beroperasi sebagai pusat baharu pembangunan industri perfileman dan kandungan kreatif negara, dengan kemudahan lebih moden serta tumpuan kepada pengukuhan ekosistem filem, televisyen dan platform digital.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pembukaan menara itu menjadi satu lagi titik penting dalam sejarah 45 tahun penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), selain melengkapkan legasi 80 tahun Malayan Film Unit dan Filem Negara Malaysia.

“Perasmian Menara FINAS ini menyatukan dua jalur sejarah penting dalam perjalanan institusi perfileman negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara, hari ini.

Menara FINAS dibangunkan di tapak seluas 5.14 ekar dengan projek bermula pada 20 Januari 2021.

Bangunan itu menerima Perakuan Siap dan Pematuhan pada 18 Disember 2025 sebelum FINAS mula beroperasi sepenuhnya di lokasi berkenaan pada 6 Ogos lalu.

Kompleks berkenaan menempatkan pelbagai kemudahan termasuk Dewan Panca Delima, dua studio sound stage, Pawagam Digital P. Ramlee, ruang latihan, Mediatheque, Museum of Moving Image serta Film Vault yang menyimpan 81,770 bahan arkib audiovisual.

Fahmi berkata, FINAS kini perlu bergerak lebih pantas seiring perubahan landskap industri, khususnya selepas pindaan ketiga Akta FINAS diluluskan Parlimen pada 2025 bagi memperluas skop peranannya termasuk perkembangan perkhidmatan atas permintaan dan platform digital.

“Namun, pindaan undang-undang bukanlah matlamat akhir. Yang lebih utama ialah bagaimana kuasa dan tanggungjawab tersebut digunakan untuk membina industri yang lebih teratur, melindungi kepentingan pekerja serta memastikan FINAS kekal relevan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Dasar Filem Negara 2026-2035 memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem perniagaan kandungan, menjadikan Malaysia hab produksi dan animasi pilihan, memperkasa profesional industri serta memperkukuh hak cipta dan pengewangan kandungan.

Prestasi filem tempatan turut menunjukkan perkembangan positif. Kutipan di bawah Skim Wajib Tayang meningkat daripada RM125.28 juta pada 2024 kepada RM253.31 juta pada 2025, manakala kutipan 2026 sudah mencecah RM111.83 juta setakat 10 Ogos.

Pada 2025, Blood Brothers: Bara Naga muncul filem dengan kutipan tertinggi di bawah skim itu sebanyak RM73.6 juta, diikuti filem animasi Papa Zola The Movie dengan RM63.8 juta.

Jumlah penonton filem tempatan juga meningkat daripada 5.87 juta pada 2023 kepada 14.83 juta pada 2025. Sehingga Julai 2026, sebanyak 6,099,245 penonton direkodkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) merekodkan hampir RM958 juta pelaburan produksi serta 12,823 peluang pekerjaan sepanjang 2024 hingga 2026.

Fahmi turut menggesa FINAS memastikan urusan industri lebih pantas dan telus, memanfaatkan sepenuhnya kemudahan baharu serta membina ekosistem mampan bagi pawagam, televisyen dan platform OTT.

Berita berkaitan
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
14 jam lalu· Isu semasa
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
14 jam lalu· Politik
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
October 25, 2026· Isu semasa
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
October 24, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
October 28, 2026 · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
October 28, 2026 · Isu semasa
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
October 28, 2026 · Isu semasa
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
1 jam lalu · Isu semasa
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
1 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok