Dana Kandungan Kreatif (DKK).
Kerajaan memperuntukkan RM15 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi memperkukuh industri kreatif negara, dengan permohonan dibuka mulai 16 November ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, dana di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu merangkumi enam kategori bagi menyediakan peluang lebih luas kepada penggiat industri, termasuk bakat baharu dan artis veteran.
Menurutnya, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada penghasilan kandungan yang memenuhi keperluan pasaran digital semasa, termasuk mikro drama untuk platform *over-the-top* (OTT).
“Dana ini bertujuan membuka peluang lebih luas kepada bakat muda menerusi kategori seperti Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), selain memberi ruang kepada artis veteran melalui Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR).
“Kita juga mahu menggalakkan penghasilan kandungan baharu yang memenuhi keperluan pasaran digital masa kini, seperti mikro drama untuk platform OTT,” katanya pada sidang media sempena malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Enam kategori ditawarkan ialah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi, Dana FAME, Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem, Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar/Platform OTT, Dana STAR dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) mulai 16 November.
Dalam perkembangan lain, Fahmi menyifatkan ASA edisi ke-37 sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap sumbangan seluruh warga industri penyiaran, termasuk mereka yang bekerja di hadapan dan di belakang tabir.
Katanya, penganjuran anugerah itu setiap dua tahun memberi ruang untuk menilai perkembangan industri penyiaran serta memastikan kategori yang dipertandingkan kekal relevan dengan perubahan semasa.
“ASA diadakan dua tahun sekali, jadi sudah pasti banyak perkembangan dalam industri sepanjang tempoh tersebut.
“Seperti dana mikro drama yang diumumkan tadi, kita percaya bentuk hiburan baharu ini mungkin akan diambil kira dalam kategori ASA akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan menilai semula aspek teknikal dan kategori selepas edisi kali ini bagi memastikan anugerah itu terus relevan dalam memperkukuh identiti ekonomi kreatif negara.
Terdahulu, ASA 2026 mempertandingkan 60 kategori, termasuk Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa. Kategori Pengulas Radio Terbaik turut diperkenalkan semula pada edisi kali ini.
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
Anwar: Ekonomi meningkat, masalah kos sara hidup rakyat tak diabaikan
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum