Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Westar Group, Syed Azman Syed Ibrahim, dinobatkan sebagai Tokoh Perdana Maulidur Rasul 1448H.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M yang diraikan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Westar Group, Syed Azman Syed Ibrahim, yang dinobatkan sebagai Tokoh Perdana Maulidur Rasul 1448H.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M,” katanya.
Selain Syed Azman, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Maulana Abdul Hamid Chin, Ayob Khan Mydin Pitchay, Laman Yasim, Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Muhammad Mikhael Sathayah, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Prof Dr Ruzita Mohd Amin yang menerima anugerah dalam kategori masing-masing.
Anwar sebelum itu menyampaikan anugerah berkenaan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan menerima Anugerah Tokoh Wira Negara, manakala Abdul Hamid yang merupakan guru agama dianugerahkan Tokoh Agamawan.
Ruzita pula menerima Tokoh Wanita MADANI, manakala Ahmad Parveez dinobatkan sebagai Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif.
Ahmad Fahmi menerima Tokoh Belia Harapan, sementara Laman yang merupakan pesara buruh menerima Tokoh Keluarga Mithali.
Muhammad Mikhael Sathayah pula menerima Tokoh Khas (Saudara Baru Cemerlang) atas pencapaian dan sumbangannya dalam komuniti serta platform media sosial.
Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan merupakan antara pengiktirafan utama sempena sambutan Maulidur Rasul bagi menghargai individu yang menunjukkan sumbangan, pencapaian dan teladan dalam pelbagai bidang.
Sambutan Maulidur Rasul tahun ini turut menjadi wadah memperkukuh penghayatan terhadap ajaran dan akhlak Nabi Muhammad SAW, selain menggalakkan nilai kemasyarakatan, perpaduan serta khidmat kepada negara.
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
Op Viking: Polis sita aset RM409 juta berkait mafia korporat, 70 individu dipanggil
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum